A
PROFILE
Laman Web Staf UPM
DR. AMIR HAMZAH BIN SHARAAI
PROFESOR MADYA
FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
amirsharaai
BM
EN

Jalan yang dipilih

- 09 Mar 2022
Dihembusnya nafas dengan begitu panjang sekali. Cuaca petang itu terasa cukup tenang dan damai sekali di Kampung Salak, Perak. Seketika juga dia memandang ke arah langit. Rasa syukur tidak terhingga dan lega diatas usaha dan pengorbanan yang dilakukan selama ini demi memenuhi cita-cita dan harapan kedua-dua orang tuanya tampak seperti hampir sudah membuahkan hasil. “Hafizi bin Che Samsuri!”, “Ya saya” jawabnya. Panggilan guru kelasnya itu disahut dengan perasaan bercampur baur. Suasana di dalam Kelas 5A1, Sekolah Menengah Dato Sagor itu juga tenang dengan pelajar-pelajar lain serta segelintir ibu bapa yang hadir sama untuk menanti dengan penuh debar keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anak mereka. Berbekalkan dengan keberanian, diaturnya langkah dengan kemas sekali menuju ke arah meja guru kelasnya itu yang menunggu dengan senyuman yang manis sekali. “Tahniah Fizi!, 8A keputusan awak, cikgu bangga ada anak murid macam kamu” kata Cikgu Suraya sambil menghulurkan slip keputusan itu kepadanya. Ketika itu juga perasaan gemuruh itu bertukar sama sekali. Hendak sahaja dia menjerit kepuasan diatas keputusan yang tidak dijangka sebegitu baik sekali namun dia memunajatkan kesyukuran dan terharu sebagai tanda bersyukur kepada Yang Maha Esa atas pemberian yang cukup bermakna bagi dirinya. “Terima kasih cikgu, hasil berkat doa dan ilmu yang cikgu bagi selama ini juga yang membantu saya” jawab Hafizi. Rakan-rakan kelasnya yang lain memberi tepukan yang gemuruh sambil turut mengucapkan tahniah diatas pencapaiannya itu.

Hafizi Samsuri merupakan seorang pelajar sekolah yang baru sahaja menamatkan zaman persekolahannya setelah berjaya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November tahun yang lalu. Dia seorang pelajar yang cukup disegani rakan-rakan kelasnya yang lain kerana cemerlang di dalam pelajaran dan juga sikap ringan tulang untuk membantu orang lain di sekolah mahupun di luar. Minatnya juga terselah kerana kerap mengikuti program-program yang dianjurkan pihak sekolah dan tidak hairan jika dia turut disenangi oleh guru-guru yang lain. Walaupun datang dari keluarga yang susah iatu keluarga pesawah yang acap kali juga dihimpit masalah kewangan namun kedua ibu-bapanya tidak sama sekali meletakkan alasan itu untuk Hafizi dan adik-adiknya terlepas dari segi soal mendapatkan pendidikan formal di sekolah. Harapan mereka sebenarnya cukup menggunung untuk melihat anak-anak kesayangan mereka berjaya terutamanya Hafizi yang juga merupakan anak sulung keluarga mereka yang boleh dijadikan contoh terbaik dan pemangkin untuk adik-adiknya yang lain mengikuti jejak langkah yang sama.

Sejurus selesai mengambil keputusan dan diumumkan sebagai salah seorang pelajar cemerlang sekolah, Hafizi segera pulang ke rumahnya untuk mencari dan menyampaikan berita gembira ini kepada keluarganya. Tidak sabar untuk dia melihat sendiri reaksi wajah kegembiraan ibu dan ayahnya ketika menerima khabar gembira ini. “Ibu!..Ayah!!..fizi dah balik ni” jerit Hafizi di hadapan tangga rumahnya sambil cuba membuka kasutnya yang kelihatan lusuh, namun tampak seperti tiada yang menyahut di dalam rumah. Adik-adiknya yang lain juga masih lagi belum pulang maklumlah masih lagi belum tamat sesi persekolahan hari ini. “Mungkin ayah dengan ibu ada kat bendang laa ni” bisik hatinya. Tanpa melengahkan masa, dia segera menanggalkan kasutnya itu lalu dicapainya selipar yang tersusun rapi di tepi bawah tangga rumahnya dan menuju ke sana. Ayahnya Che Samsuri dan ibunya Jamaliah mengambil upah dari majikan untuk menguruskan sawah padi yang terletak agak tidak jauh dengan rumah mereka. Menjadi kelaziman di setiap pagi, mereka berdua akan turun ke sawah untuk bekerja disana demi mencari rezeki untuk menyara kehidupan keluarga mereka. Kadang kala diwaktu lapang dan memerlukan duit lebih, ayahnya akan mengerah tulang 4 keratnya dengan mengambil upah daripada jiran-jiran berhampiran seperti memotong rumput dan bertukang. Hafizi juga turut tidak terlepas membantu ayahnya itu memandangkan selepas menduduki peperiksaan SPM yang lalu, dia banyak menghabiskan masa di rumah untuk menjaga sama adik-adiknya yang masih bersekolah lagi. Adakala waktunya, kesihatan ibu dan ayahnya itu tidak berapa mengizinkan untuk mereka membanting tulang bagi mencari rezeki keluarga itu. Mujurlah, bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan dari warga sekeliling kampung yang bersikap prihatin banyak membantu mereka ketika diwaktu yang agak genting.

Nun jauh lagi sudah Hafizi menjerit memanggil-manggil ibu dan ayahnya. Suara yang lantang didengari itu lantas ditoleh oleh kedua-dua Che Samsuri dan Jamaliah. Riak wajah gembira anaknya itu berlari ke arah mereka seperti sudah memberi petanda baik kerana Che Samsuri telah diberitahu oleh Hafizi pagi itu bahawa dia perlu hadir ke sekolahnya semula untuk mengambil slip keputusan peperiksaannya. Sejurus ibu dan ayahnya melihat keputusan anak sulungnya itu, Samsuri lantas memeluk erat anaknya itu. Perasaan hiba dan gembira jelas terpancar diwajahnya. “Alhamdullilah, terima kasih anak ayah hadiahkan ayah dan ibu kamu dengan keputusan seperti ni” katanya. Ibunya yang melihat disitu turut menitiskan air mata kegembiraan dek kerana merasakan kerja keras yang dilakukan Hafizi untuk bersengkang mata mentelaah pelajaran selama ini memberi pulangan yang cukup dibanggakan. “Macam mana keputusan anak engkau Samsuri? Senyum lebar aku tengok kamu anak beranak tadi” soal rakan kerjanya itu. “Anak aku Din… dapat semua A, orang putih kata Straight A” balas Samsuri dengan intonasinya yang kelihatan lega. Hafizi yang tadi dipeluk erat kelihatan sudahpun berada di petak sawah yang lain bersama ibunya, membantu ibunya itu untuk menghabiskan kerja disitu untuk segera pulang selepas itu.

Malam itu dihabiskan sepenuhnya masa Hafizi bersama keluarga. Ibunya sudah selesai menyiapkan hidangan makan malam yang lauknya dimasak sedikit lebih sebagai tanda menghargai keputusan cemerlang anaknya itu. Semuanya lauk seperti kelazimannya, cuma hari ini ibunya sempat menyediakan lauk sambal tempe kegemaran Hafizi. Selesai sahaja makan, Hafizi dipanggil ayahnya untuk duduk di tepi pangkin rumah. Api yang dinyalakan Samsuri itu lantas disinggahkan ke hujung puntung rokoknya dan terus bersandar. “Ayah nak tanya kamu ni, tak mahu kaa kamu menyambung pelajaran?” soal ayahnya. “Bukan apa, kawan-kawan ayah tadi pun ada tanyakan sama, keputusan kamu tu bagus Fizi, soal duit belajar kamu tu janganlah dirisaukan, insyaallah ayah dan ibu kamu akan usahakan” tambahnya lagi. Mendengar kata-kata tersebut dari orang tuanya, Hafizi kelihatan tersentak seketika. Didalam benak hatinya ingin sahaja dia menolak pertanyaan orang tuanya itu untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Maklumlah, bagi dirinya soal membantu mencari pendapatan keluarga lebih penting untuk meringankan beban ibu ayahnya menyara dia dan adik-adik yang lain. Mungkin dia berfikiran bahawa pengorbanan yang dia terpaksa lakukan ini akan membuka laluan yang lebih mudah untuk adik-adiknya mengikuti langkahnya dan melanjutkan pelajaran ke menara gading. “ Tak pa ayah, fizi rasa fizi nak kerja dulu buat sementara ni dekat bandar, nak bantu-bantu sama ayah” ,”Ibu pun bukannya selalu sihat nak ikut ayah turun sama ke bendang tu” jawab Hafizi. Che Samsuri yang mendengar kata-kata diungkapkan anak sulungnya itu juga terdiam seketika. Kemudiannya dia memandang tepat ke arah anaknya dengan pandangan penuh sesalan. “ Fizi, ayah tak mau kamu jadi seperti mana ayah sekarang ni. Kamu sendiri tau dan lihat macam mana ayah ibu kamu berkerja dari siang sampai nak naik ke malam untuk mencari duit. Pelajaran tu penting fizi. Dengan pelajaran saja kamu boleh ubah nasib keluarga kita sekarang dan bina masa depan yang lebih baik” jelas ayahnya. Bukan sengaja Samsuri berkata demikian, kerana dia sendiri tidak mahu anak-anaknya merasakan keperitan dan penat lelah yang dilalui sekarang ini. Cukup sekadar dirinya sahaja merasakan kepahitan itu, kerana dia yakin bahawa Hafizi mampu pergi lebih jauh di dalam pelajaran ditambahnya lagi keputusan SPM anaknya itu yang cemerlang didalam semua matapelajaran diambilnya. “Harta ayah dan ibu kamu dalam dunia ini sebenarnya kamu berempat sahaja, duit dan harta yang lain itu sementara sahaja” kata ayahnya lagi. Pilu hati Hafizi mendengar keluhan ayahnya itu. Rasa bersalah juga dibuatnya apabila menjawab pertanyaan ayahnya tadi sebegitu rupa.Niat dihatinya untuk membantu keluarganya sahaja, namun dia juga akur dan faham kehedendak orang tuanya itu dan mana mungkin Hafizi membantah jika itu adalah terbaik juga untuk dirinya sendiri. “Baiklah ayah, fizi cuba yang terbaik. Lagipun sempat untuk fizi nak berdaftar untuk lanjutkan pelajaran. Cuma Fizi perlukan masa nak fikirkan mana yang terbaik untuk Fizi”. Barulah tersenyum kembali raut wajah ayahnya itu apabila mendengar penjelasan anaknya.

Keesokan harinya, Hafizi pergi ke bandar dengan ditemani dua orang rakan karibnya sejak kecil lagi iaitu Karim dan Hazwan. Mereka berdua juga adalah rakan kelasnya yang sering bersama baik di sekolah mahupun diluar. Keputusan peperiksaan SPM dua rakan karibnya juga itu baik walaupun tidaklah sehebat mana yang diperoleh Hafizi namun bagi Hafizi itu adalah rezeki masing-masing setelah penat berusaha sebelum ini. Dengan membayar tambang sebanyak RM 1.50 setiap seorang, mereka bertiga pergi ke bandar pada tengahhari itu dengan menaiki bas awam menuju ke Bandar Teluk Intan yang terletak lebih kurang 20 Kilometer jaraknya dari kampung mereka. Sampai saja disana mereka terus menuju ke Cybercafe berdekatan tidak jauh dari perhentian bas yang mereka turun. Berbekalkan sijil-sijil kokurikulum dan keputusan akademik semasa di sekolah, mereka bertiga mengisi borang pendaftaran secara atas talian (online) untuk kemasukan ke Universiti Awam Malaysia. Hafizi juga tidak lepas untuk mengisi borang bantuan pelajaran negeri dan memohon kepada bantuan kewangan pelajaran yang lain. Melalui program-program diikutinya sebelum ini di sekolah, dia serba sedikit mengetahui mengenai bantuan kewangan yang disediakan kepada pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Jauh dia berfikir pada malam itu selepas berbincang dengan ayahnya mengenai pelajarannya dan dia nekad untuk sekurang-kurangnya mendapatkan pinjaman yang boleh membantu meringankan beban keluarganya sekiranya dia berjaya melanjutkan pelajaran di menara gading. Soal pembayaran itu pastinya ditanggungnya kelak, namun apa yang penting bagi dirinya impian untuk kedua orang tuanya melihat dia menjejakkan kaki ke menara gading menjadi kenyataan. Sewaktu mengisi borang kemasukan, Hafizi juga sebulat hati untuk mengambil bidang pelajaran yang diminati dan dipelajarinya di sekolah. Cuma bidang itu agak berlainan sebelum ini dimana dia memilih bidang pembelajaran dan pengajian alam sekitar sebagai pilihan utamanya. Mungkin bagi dirinya, bidang yang bakal diceburi itu tidaklah begitu dikenali dan diminati orang lain tetapi cukup untuk memberinya peluang bagi mendapatkan perkerjaan yang professional kelak.

Sudah 3 bulan berlalu semenjak Hafizi memasuki ke menara gading dan tampaknya dia semakin menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran di Universiti. Rakan karibnya Karim dan Hazwan juga berada di Universiti yang sama cuma mereka berdua berlainan kursus pengajian dengan yang diambil oleh Hafizi. Bagi Hafizi impian dan amanat kedua orang tuanya sudah pun dilaksanakan dan dia berusaha sepanjang masa untuk mendapatkan keputusan yang baik bagi setiap semester dan mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan dirinya. Selama berada disana, pelbagai pelajaran dan informasi baharu yang didapatinya dan seperti yang diketahui Hafizi juga cepat untuk mempelajari sesuatu benda baharu dan tidak mustahil dia mampu mendapat keputusan yang sebegitu baik. Pada cuti semester pengajiannya yang akan datang dia sudah merancang untuk pulang membantu keluarganya dengan bekerja sementara di warung Pak Yaakob untuk menjana pendapatan sampingan. Walaupun bantuan kewangan yang sudah diterima itu hampir setiap semester bakal diterimanya namun dia harus belajar berjimat cermat disamping mencari pendapatan dari sumber yang lain. Sejurus tamat pengajian semester tersebut, Hafizi pulang ke kampung halamannya untuk bertemu keluarganya dan melepaskan rindu yang sudah lama dirasainya. Hampir 5 bulan juga dia berjauhan dengan keluarganya untuk menuntut ilmu. Setibanya di kampung halamannya, Hafizi terkejut dengan perubahan yang agak ketara berlaku. Hutan berhampiran kawasan rumah dan jiran-jirannya telah mula ditarah dan dipotong untuk memberi laluan kepada pemaju membawa masuk pembangunan baru di kawasan itu. Sememangnya satu perubahan agak ketara berlaku, disebabkan keluasan hutan tersebut cukup besar dan tiada sebarang pembangunan atau individu yang diberikan kebenaran untuk menganggu kawasan tersebut. Kelihatan pelbagai jenis jentolak dan lori-lori mula memenuhi laluan keluar masuk jalan utama di kampungnya dan ini sememangnya boleh mendatangkan bahaya serta kemudaratan kepada penduduk Kampung Salak itu sendiri.

Setibanya di rumah, Hafizi juga terkejut dan risau apabila melihatnya ibunya kini terlantar di katil akibat batuk-batuk dan demam panas yang dialami. Dikucupnya tangan kedua ibu dan ayahnya itu.Tuala basah yang diletakkan di kepala ibunya itu juga terasa agak panas apabila dipegangnya. “Bila Fizi sampai rumah ni nak?” soal ibunya dengan nada yang lemah. “Fizi baru sampai saja ni ibu” balas Hafizi kepada ibunya. “Tak mengapa fizi, sekejap saja panas badan ibu ni” ibunya membalas. Sememangnya agak panas juga cuaca disitu dirasainya setelah lama tidak pulang ke kampung halamannya itu. Jika sebelum ini mungkin terasa redup sahaja memandangkan pokok-pokok besar yang gah itu melitupi hampir kebanyakan kawasan disitu. “Ayah, banyaknya Fizi tengok lori lalu lalang dekat jalan utama depan sana tadi masa nak berjalan masuk kesini, habis berdebu jalan kat situ dengan kotornya lagi” kata Hafizi. Dia yang sudah sebati dengan suasana kampung disitu cukup terasa dengan perubahan yang belaku ini walaupun dia juga faham perubahan ini turut mendatangkan kebaikan kepada penduduk Kampung Salak itu bagi memajukan dan membangunkan lagi ekonomi serta taraf hidup penduduk disitu. Namun begitu, dia juga melihat dari kesan dan kemudaratan yang tidak baik boleh berlaku dan menjejaskan kesihatan penduduk kampung ini. “Biasa lah tu Fizi, mereka katanya nak buat projek besar-besaran dekat kawasan kita ini.” “Sebelum ini ada juga beberapa penduduk disini yang bantah sama masa pemaju tu mula-mula nak masuk untuk berjumpa orang kampung kita ni” jelas ayahnya , Che Samsuri. “ Bukan apa ayah, Fizi nampak memang datangkan kebaikan pada orang kampung kita tapi jejaskan dekat kita sendiri dan kawasan sekitar ni” jawab Hafizi. Hampir sebahagian kawasan hutan di bukit berhampiran kampung itu sudah banyak digondol dengan jentolak dan lereng-lereng bukit juga turut ditarah untuk menaikkan pembangunan baru. Menjelang waktu petang itu, dia mengambil kelapangan seketika untuk berjalan di sekitar kawasan kampungnya itu. Apabila melintas di kawasan tapak pembangunan itu dilihatnya sudah terpampang besar iklan perumahan baru yang tersegam gah disitu oleh pemaju berkenaan. Dilihatnya struktur rumah 2 tingkat itu bersama bangunan lot kedai yang dicadang untuk dibina disitu dengan harga yang agak mahal dan jauh lebih gah dari rumah didiaminya dan keluarga. Persoalan berlegar-legar di ruang pemikirannya dengan kesan yang bakal berlaku kepada kawasan perkampungan mereka yang tinggal dibawah sana. Kawasan kampung mereka itu terletak ditanah yang rendah dan rata jika dibandingkan perumahan yang bakal berlangsung diatas kawasan bukit ini.

Keesokkan harinya, pagi-pagi lagi sudah Hafizi berjalan keluar menuju ke warung Pak Yaakob untuk bertanyakan kerja kosong seperti yang dirancangnya. Dia turut mempelawa rakannya Karim setelah berjanji untuk berkerja bersama di warung itu untuk mengisi masa lapang mereka ketika bercuti semester ini. “ Haa hangpa berdua, baguihlaa kalau ada nak kerja dan bantu-bantu sama Pak Yaakob dekat warung ini, bukan apa, pasai kedai ni pun tak cukup orang untuk nak kerja. Nak mengharapkan anak Pak Yaakob sorang tu kerja tak cukup tangan dibuatnya” kata Pak Yaakob dengan loghat bahasanya yang pekat sekali. Kedua-dua mereka juga setuju dengan kerja yang diberi oleh Pak Yaakob dan boleh memulakan kerja mereka bermula esoknya. “Fizi, hang perasan dak yang port kita selalu pi mandi-mandi kat hujung kampung tu dah keruhlah air sungai dia”, baru plan nak ajak member-member kita yang lain makan bakar-bakar kat situ hujung minggu ni” jelas rakannya Karim ketika mereka bersama berjalan untuk pulang. “Tak tau pulak aku dah jadi gitu rupa, tak syok laa tempat dah kena kacau. Panas-panas ni sedap terjun sungai sebenarnya” jawab Hafizi. Ketika sedang mereka ingin melintas jalanraya disitu tiba-tiba kedengaran bunyi hon lori yang membawa pasir melebihi muatan menderu laju satu persatu. Sebaik sahaja lori-lori itu melalui di kawasan itu, bertebangan debu-debu pasir dibawa bersama yang sehingga mengakibatkan penglihatan mereka terganggu seketika. “Karim, mata aku!” jerit Hafizi. Hafizi yang tertunduk tunduk sambil mengosok matanya kelihatan tidak selesa apabila terasa ada debu pasir yang seperti menganggu penglihatannya untuk melihat. Bukan satu dua buah tetapi banyak juga lori –lori yang mengangkut masuk pasir dan batu bata melalui kawasan jalanraya itu sebagai laluan mereka untuk membangunkan kawasan perumahan baru di kawasan atas bukit kampungnya itu. “ Kurang ajar punya driver lori, jenis fikir diri sendiri ke apa ni, nasib baik dengan kita-kita tak disondolnya” tambah Hafizi lagi. Mereka segera melintas jalan tersebut apabila dilihatnya tiada sebarang kenderaan yang sedang melintasi laluan itu. Bagi Hafizi, keadaan ini sememangnya dirasakan tidak selamat dan boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk di kawasan kampung ini lebih-lebih lagi sekiranya budak kecil dan murid-murid sekolah pergi dan pulang dari sekolah kerana tiada kemudahan seperti jejambat yang boleh digunakan untuk menyeberang jalan tersebut. Agak panas juga cuaca disitu sehingga menitis peluh mereka berdua berjalan untuk pulang ke rumah. Lazimnya, jam 11 pagi sebegini masih lagi tidak begitu berasa panas dan hangat namun kini keadaan berubah sama sekali. Di dalam pemikiran Hafizi, keadaan sedemikian rupa tidaklah sepenuhnya disebabkan perubahan yang drastik dibawa oleh persekitaran, namun dek kerana tangan manusia sendirilah juga mereka terpaksa menanggungnya.

Di sebelah petangnya, Hafizi menemani ayahnya untuk turun ke sawah bendang tempat dimana ayahnya bekerja. Rakan-rakan ayahnya disapa dan disalam kerana Hafizi ini sering menjadi perbualan dan perhatian oleh rakan-rakan ayahnya itu diatas sikapnya yang rajin dan kerap kali membantu orang tuanya itu. “Hang lama kaa balik bercuti ni Fizi?” soal Pakcik Jamal, kawan baik kepada ayahnya itu. “Haa pakcik, balik cuti semester untuk sebulan ni saja, boleh laa bantu-bantu sama mana yang patut”, “sambil-sambil tu saya nak cuba kerja sama dekat warung Pak Yaakob tu, buat duit tambah” Hafizi membalas. Lalu dia pun memulakan kerja dengan membantu ayahnya itu mengasingkan padi itu bersama yang lain. Kebetulan di waktu ini adalah musim dimana orang mula menuai hasil padi dan tidak hairanlah ayahnya terpaksa kerap turun ke bendang untuk cepat menghabiskan musim menuai padi itu. Diikutkan upah bekerja di sawah bendang ini tidaklah sebegitu setimpal dengan kerja yang terpaksa dilakukan oleh ayahnya. Tambahan pula terpaksa berjemur di bawah sinar matahari yang seperti membakar kulit mereka namun tiada sebarang rungutan yang pernah didengari oleh Hafizi dari ayahnya dan sebagai seorang anak yang bertanggungjawab dia juga banyak meluangkan masa membantu ayahnya disini. Mesin jentuai padi mula beroperasi dengan memasuki kawasan sawah padi tersebut. Bunyi deruman enjin mesin jentuai padi itu begitu kuat sekali sehingga terasa berdesing telinga Hafizi dibuatnya. Hari ini tugasan untuk membantu ayahnya adalah melakukan pemeriksaan semula dan mengasingkan juga saki baki dari padi itu sendiri yang telah rosak di tempat pengumpulan hasil padi . Dia yang sering juga melakukan kerja ini tidaklah begitu kekok untuk membantu. Cuma dia juga terasa sedih dan berfikir sejenak bagaimana ayahnya itu bertahan sekian lama untuk bekerja sebegitu rupa demi mencari rezeki yang halal buat keluarganya. Didalam pejabat tempat pemprosesan beras padi itu kelihatan Haji Dollah yang merupakan salah seorang individu yang terkaya di dalam Kampung Salak itu sedang rancak berbual dengan rakan-rakannya yang lain. Orangnya sedikit berumur namun berpakaian kemas. Sungguhpun Haji Dollah itu kaya orangnya, tetapi dia mudah didekati oleh para pekerjanya kerana sikapnya yang agak ramah disenangi ramai. Selesai sahaja mesin jentuai padi itu siap menuai padi, hasilnya terus dibawa masuk ke kilang pengumpulan untuk diproses dan diperiksa semula. Namun apa yang dilihat oleh Hafizi selepas itu, kawasan padi yang telah dituai hasilnya akan terus dibakar oleh pekerja yang lain. Tampak seperti mungkin hanya menerima dan menjalankan tugasan dari arahan orang atas disitu. Api juga mula menyambar dan datang dari setiap arah di kawasan padi yang hendak dibakar itu. Api yang semakin marak itu juga turut menyebabkan berkepul-kepul gulung asap terhasil naik ke udara.

Sebagai seorang pelajar yang menuntut ilmu di dalam bidang alam sekitar ini, Hafizi melihat ini sebagai satu bentuk kebakaran terbuka serta pencemaran udara serius yang boleh membawa kesan tidak sihat kepada penduduk di sekitar kawasan itu. Dengan kebakaran terbuka dalam skala yang besar ini ianya boleh menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan dalam jumlah oksigen dan juga karbon dioksida. Hafiz segera bertanyakan kepada ayahnya, Che Samsuri. “Ayah, memang selalu ya tempat kerja ayah ni , nak bakar tempat sawah padi yang dah habis tuai” soal Hafizi. Ayahnya membalas “ Ya Fizi, selalunya memang seperti yang ini mereka lakukan” jawab ayahnya itu. Lantaran itu, keadaaan ini akan menyebabkan kandungan karbon dioksida boleh meningkat naik apabila kebakaran ini berlaku dan secara tidak langsung menyebabkan pemanasan global terjadi. Selain itu, pengurusan tempat kerja tersebut lebih dilihat memandang kepada keuntungan semata-mata tanpa memikirkan impak besar yang dibawa oleh aktiviti yang mereka lakukan itu. “Barangkali, hendak menjimatkan kos rasanya, itu yang dibakarnya sahaja kawasan padi tu” bisik Hafizi di dalam hatinya. Ternyata, penyumbang kepada pemanasan cuaca di kawasan itu juga boleh dikatakan dari aktiviti pertanian yang diusahakan ini selain daripada pembangunan perumahan baharu yang rancak dibangunkan di kawasan bukit hutan lama disitu. Untuk hendak mengusahakan penanaman padi di kawasan ini mungkin nampak mudah sahaja tetapi pengurusan padinya ini sedikit tampak kurang efisien untuk dibakar dengan kaedah terbuka sedemikian.“Kalau berterusan pembakaran terbuka ini dibuat, yang teruknya nanti kita yang kena” jelas Hafizi kepada ayahnya. Ayahnya yang mendengar rungutan anaknya itu faham dan mengerti kerana apa yang dikatakan itu juga benar. Sebenarnya tujuan pihak kilang itu melakukan pembakaran terbuka adalah untuk memudahkan dan menjimatkan kos sebelum penanaman semula sawah padi baru dijalankan dan diikutkan ada sahaja jadual dan masa-masa tertentu untuk melakukan pembakaran tersebut perlu dipatuhi namun tidaklah begitu diendahkan. Bagi sesetengah tempat penanaman padi, sememangnya telah dibenarkan untuk membuat pembakaran terbuka seperti itu tetapi perlepasan asap yang berlebihan juga tidak dibenarkan. Hari semakin senja, dan matahari kini kelihatan sedang melabuhkan tirainya di sebelah barat. Kedua anak-beranak itu pulang kerumah setelah selesai bekerja di tempat pengumpulan hasil beras padi itu. Dalam perjalanan pulang itu Che Samsuri sempat bertanyakan kepada anaknya itu. “ Fizi, kamu dah habis belajar nanti, cepat-cepat dapatkan kerja yang elok, boleh berbakti semula pada orang lain” kata ayah Hafizi. “ Ya, Fizi tak sabar nak habiskan masa belajar ni ayah, boleh dapatkan kerja macam yang Fizi nak, carikan rumah baru untuk keluarga kita” jelas Hafizi sambil tersenyum.

Beberapa hari kemudian, Hafizi dan Karim memulakan kerja mereka secara sementara di warung Pak Yaakob. Mereka mengambil upah mengambil pesanan dan menghantar makanan ke meja pelanggan dan juga membuat kerja-kerja warung yang lain. Upah harian yang diterima akan disimpan Hafizi selama dia bekerja di warung itu dengan tujuan untuk digunakan sekiranya diwaktu kecemasan apabila berada di kampusnya nanti. Warung PakYaakob itu yang terletak di jalan utama kampung itu menjadi tempat lepak bagi orang-orang kampung disitu dan sejak dari jam 7 pagi lagi warung itu sudah sedia dibuka untuk menerima pelanggan-pelanggan setianya. Berikutan perumahan baru yang sedang dijalankan di kawasan hutan bukit di Kampung Salak itu dan lori-lori yang membawa pasir sering melalui kawasan tersebut warung-warung di kawasan itu juga senang sahaja berdebu dek debu pasir yang bertebangan. Tiada langsung penguatkuasa yang berada disitu untuk memantau keluar masuk lori-lori ini yang kadangkala membawa secara berbahaya dan boleh mengugat keselamatan orang kampung di situ. Bukan sahaja mendatangkan bahaya malah warung-warung disekitar kawasan itu turut menerima tempias kecil dari projek perumahan yang sedang rancak dibangunkan di kampung itu. Habis berhabuk meja dan kerusi-kerusi kedai mereka dan perlu juga kerap untuk membersihkannya. “Hari-hari macam ni Pak Yaakob, jenuh jugak dibuatnya” kata Karim. Bukannya apa, pagi-pagi lagi semasa tolong membuka kedai mereka sudah pun membersihkan warung kedai itu dan belum sampai tengahhari dirasakan berdebu juga meja yang diletakkan diluar anjung warung itu. Pelanggan juga ada yang bising kerana menganggu mereka untuk menjamu selera selain bunyi bising lori-lori yang lalu lalang disitu. Habuk dan debu yang dibawa itu juga boleh menjejaskan kesihatan manusia kerana boleh memyebabkan batuk-batuk kerana persekitaran udara yang kurang bersih. Menyedari keadaaan sedemikian, terpaksa juga dilayankan Pak Yaakob dengan rungutan para pelanggan yang datang ke kedai warungnya itu. Jelas sekali projek perumahan itu mendatangkan kesusahan kepada warga kampung yang sedia ada disitu kerana mereka tidaklah begitu mematuhi standard dan arahan yang sepatutnya kerana memikirkan keuntungan daripada keselamatan. Kini, hampir 2 bulan Hafizi bercuti semester, dan dia perlu memasuki semula ke tempat pengajiannya. Masa 2 bulan ini baginya cukup berbaloi dan berharga kerana dapat membantu sama keluarganya melakukan kerja-kerja rumah selain bekerja di warung Pak Yaakob itu. Petang itu keluarganya menemani anak sulungnya bersama rakan baiknya Karim itu ke perhentian bas besar di Bandar Teluk Intan untuk mereka menaiki bas dan pulang ke tempat pengajian mereka.

Musim tengkujuh ketika itu melanda, dan hujan turun dengan lebatnya mencurah air membasahi bumi di Kampung Salak, Perak. Kawasan disekitar negeri Perak juga banyak menerima hujan lebat dan menyebabkan banjir kilat disesetengah kawasan. Di corong-corong radio dan televisyen juga banyak dilaporkan mengenai keadaaan cuaca semasa berikutan hujan lebat yang tanpa henti itu. Di kawasan yang kebanyakkan ditengelami air banjir, penduduknya telah pun dipindahkan dengan segera oleh anggota bomba dan pihak anggota pertahanan awam Malaysia. Che Samsuri melihat ke luar rumahnya dan dilihat hujan masih turun dengan lebatnya dan ini merisaukan dirinya sendiri kerana memikirkan keselamatan isteri dan anak-anaknya yang lain. Kebiasaannya, jika hujan berterusan sebegini dan paras air yang kian meningkat akan boleh membawa banjir dan bah besar kepada kawasan kampung mereka ini kerana terletak di kawasan yang agak rata dan rendah tambahan lagi projek yang sedang giat dijalankan di kawasan atas bukit itu juga masih belum siap sepenuhnya dan tergendala buat sementara waktu. Paras air semakin meningkat petang itu ke paras pinggang dan Che Samsuri menyuruh isteri dan anaknya segera mencari dokumen-dokumen penting dan barang berharga untuk dibawa pindah bersama ke tempat pusat pemindahan ditetapkan. Jiran-jiran mereka juga ada yang telah siap mengambil dan membawa barang-barang mereka untuk dipindahkan sama ke pusat pemindahan itu namun yang dikhuatirkan kerana bantuan seperti lambat untuk memasuki ke kawasan perkampungan mereka untuk datang dan mengambil mereka keluar situ. Hafizi yang ketika itu di tempat pengajiannya juga risau kerana dia juga mengikuti perkembangan musim tengkujuh yang melanda di negeri kelahirannya itu. Terdetik di hatinya kerana risau sekiranya berlaku perkara yang tidak diinginkannya menimpa kepada ahli keluarganya tetapi dia masih belum dapat pulang ke sana kerana terikat dengan kerja dan projek kelasnya untuk disiapkan. Minggu pengajian juga masih belum tamat lagi dan berbaki 3 minggu sebelum cuti pertengahan semester selama seminggu bermula pada minggu seterusnya itu. Untuk sedikit menghilangkan kebimbangannya, dia juga sering menghubungi keluarganya itu di kampung bagi mengetahui keadaan semasa mereka disana cuma dalam sehari dua ini dia masih belum berbuat demikian. Menjelang malam cuaca semakin bertambah buruk dan hujan masih lebat dan belum menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti. Bunyi enjin bot juga masih belum didengari untuk masuk ke kawasan itu bagi mengambil mangsa banjir di kawasan kampung itu. Dalam masa yang sama juga air hujan yang lebat itu juga sedikit demi sedikit membawa tanah-tanah turun dari kawasan bukit berkenaan dan perkara ini masih belum disedari oleh penduduk kampung di kawasan tersebut.

Secara dengan tiba-tiba, dirasakan seperti ada satu gegaran dan bunyi kuat yang berlaku di kawasan tapak perumahan di atas bukit perkampungan itu dan kedengaran juga jeritan pekikan dari luar rumahnya itu dan segera Che Samsuri seperti mahu berlari ke luar untuk melihat apa yang berlaku. Belum sempat dia untuk berlari keluar dengan secara tiba-tiba satu bah banjir lumpur menuruni dan menenggelamkan kawasan perkampungan itu. Banjir lumpur yang dibawa oleh tapak perumahan dikawasan bukit diatas telah turun dengan secara tiba-tiba ke kawasan perkampungan tersebut. Rumah-rumah yang kebanyakannya dari papan disitu habis dibawa bersama dan ada yang dihanyutkan sehingga menyebabkan kerosakan yang sangat teruk. Rumah didiami oleh keluarga Hafizi itu juga sama sekali ditenggelami oleh banjir lumpur itu yang sehingga tidak kelihatan. Kejadian yang terjadi itu berlaku dalam sangat pantas sehingga ramai yang tidak sempat untuk menyelamatkan diri masing-masing. Suara jeritan meminta tolong juga hilang sama sekali dan bunyi deruan air banjir kilat itu menggantikannya. Sangat dasyat kejadian itu sehingga menyebabkan kerosakan sebegini. Dalam masa yang sama terdetik di hati Hafizi, seperti ada yang dirasakannya tidak kena. Dia yang jauh di tempat pengajiaannya seperti diusik hatinya dan menjadi seperti orang tidak keruan dan senang duduk. “Ya Allah, benda apa yang nak datang dan nak jadi ni?” bisik hati Hafizi. Dilihatnya jam ketika itu pada pukul 12 lebih dan dia masih lagi menelaah pelajaran bersama rakan-rakan kelasnya di bilik memandangkan mereka juga dia dan rakan-rakan akan menghadapi peperiksaan pertama semester sebelum cuti pertengahan semester bermula. Rakan-rakannya yang dibilik juga seperti hairan dengan keadaan Hafizi yang tidak senang duduk bagai cacing kepanasan. “Oooi fizi, kenapa dengan kau ni dari tadi macam panas punggung je?” soal salah seorang rakannya ketika itu. “Aku….aku tak sedap hati laa korang, pagi tadi aku ada tengok berita pasal banjir and ada berita pasal tempat kampung aku masuk berita. Sana sekarang ni musim hujan lebat, risau aku dekat keluarga aku sebenarnya” jawab Hafizi dengan riak wajahnya yang menggusarkan. “ Haishh, jauh betul kau memikirkan tu Fizi, kalau iya pun cuba kau telefon saja family kau kat kampung tu tanya sendiri macam mana keadaan dieorg” jawab rakannya dengan nada yang selamba. Ketika itu juga dia tidak mengetahui bahawa ahli keluarganya sama sekali telah pun dihanyutkan oleh bah banjir lumpur itu yang turun dengan mengganas sekali menghentam kampung mereka dan belum diketahui lagi bagaimana nasib mereka sama ada masih lagi bernyawa ataupun tidak. Apa yang pasti kejadian yang berlaku secara tiba-tiba itu datanglah dari punca kecuaian manusia sendiri yang mengambil mudah sesuatu perkara itu sehingga mendatangkan bencana kepada orang lain.

Hafizi segera mencapai telefon bimbitnya dan mencari nombor telefon rumahnya. Dia seperti mahu memastikan seperti tiada apa yang berlaku dan mengetahui keadaan keluarganya di kampung. Namun, apabila cuba menghubungi nombor telefon rumahnya tiada sebarang jawapan malah panggilannya langsung tidak dapat dihubungi. Hampir 5 ke 8 kali dia cuba menghubungi keluarganya itu tetapi masih belum ada jawapan yang diterimanya. Dia yang mundar madir itu terduduk sebentar di katilnya dan menghela nafas yang panjang. Barangkali untuk menenangkan sebentar jiwanya yang gusar seperti orang yang meracau. Rakan-rakannya yang melihat segera datang ke arahnya sambil memegang erat bahunya. “Kenapa fizi? Dapat ke tak kau telefon family kau tu? soal rakannya. “Entahlah korang, aku tak dapat nak contact dengan family aku ni, masalahnya langsung tak boleh nak hubung, takkan sampai macam ni sekali” rungut Hafizi. “Aku fikir nak balik sana pagi esok, pasal kerja yang kena hantar ni aku siapkan malam ini jugak” tegas Hafizi. Rakan-rakannya juga faham dengan permintaan Hafizi itu dan mereka tiada masalah untuk Hafizi berbuat sedemikian.

Sudah hampir sejam selepas banjir kilat itu melanda Kampung Salak tersebut, dan keadaan itu berlarutan sehingga kini. Bantuan baru sahaja cuba memasuki ke kawasan tersebut selepas pihak berkuasa menerima laporan dari penduduk yang turut terkena tempias namun mereka bernasib baik kerana terletak jauh sedikit dari tempat kejadian berlakunya banjir lumpur itu dan sempat berlari untuk menyelamatkan diri. Menderu bantuan sampai untuk cuba menyelamatkan mangsa yang juga masih hidup namun terperangkap untuk menyelamatkan diri. Pihak Bomba bertungkus lumus cuba memasuki kawasan bencana itu namun masih belum berjaya kerana aliran air banjir lumpur itu masih lagi deras tambahan lagi dengan keadaan cuaca hujan yang masih belum lagi memberi tanda-tanda untuk berhenti. Bekalan elektrik di kawasan kampung terbabit terputus sama sekali dan ianya sangat menyukarkan untuk pihak anggota Bomba dan juga pihak agensi lain untuk memasuki kawasan bencana terbabit. Setelah bertungkus lumus cuba memasuki ke kawasan kejadian, pihak Bomba berjaya melakukannya dan memulakan kerja menyelamat kerana kelihatan masih juga ada yang berpaut dan menjerit meminta pertolongan. Mereka segera menyelamatkan mangsa yang terperangkap dan berjaya juga membawa mereka keluar daripada terus terperangkap. Keadaan begitu menyedihkan sekali kerana ada juga yang kelihatan hanyut dibawa arus dan tidak sempat untuk diselamatkan.

Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa kejadian banjir lumpur itu terus dilipat gandakan oleh pihak berkuasa dan mendapat liputan media massa malam itu juga. Hafizi yang tertidur kepenatan malam itu setelah menyelesaikan tugasan berkumpulannya terus tertidur dikatilnya dan tidak menyedari hal yang telah berlaku ini kerana dia berfikiran hendak pulang ke kampung keesokkan paginya untuk melihat keluarganya tetapi apa yang tidak diketahui adalah hakikat bahawa ahli-ahli keluarganya yang lain iaitu ayah, ibu dan adik-adiknya tidak lagi hidup kerana dibedal oleh arus deras banjir lumpur tersebut.

Malam itu juga menyaksikan liputan langsung dibuat di siaran utama televisyen di seluruh negara dan mendapat perhatian ramai pihak. Kejadian yang berlaku itu adalah antara yang terburuk terjadi dan ianya disebabkan oleh kecuaian manusia itu sendiri. Mangsa-magsa banjir terbabit yang selamat telah dipindahkan ke pusat pemindahan berasingan dan mendapat rawatan perubatan. Di kawasan kejadian, banjir lumpur yang dibawa arus itu semakin perlahan dan menunjukkan tanda-tanda seperti untuk berhenti. Kerosakan yang dibawa begitu menyedihkan sekali kerana jika dilihat, runtuhan tebing tanah di kawasan bukit itu tinggi dan apabila runtuh dan dibawa bersama jentera dan jentolak dari tapak projek perumahan yang masih belum siap itu ke bawah kesannya begitu teruk sekali diterima oleh perumahan kampung dibawah ini. Jam ketika itu menunjukkan jam 4.50 pagi, dan pihak anggota bomba serta anggota agensi yang lain kini beralih untuk bertungkus lumus cuba mencari lagi mangsa–mangsa yang masih terperangkap dibawah runtuhan rumah mereka sendiri dan yang dihanyutkan oleh arus banjir deras itu. Penduduk-penduduk kampung yang terselamat dari bencana itu ada juga membantusama untuk mencari mangsa yang terperangkap dan mereka ada yang berjaya mengeluarkan mangsa terbabit. Keadaan cukup kelam kabut dan menyedihkan sekali ketika itu. Hafizi yang bergerak pulang menaiki bas jam 8 pagi dari Kuala Lumpur juga masih belum mendapat perkhabaran ini dan sehinggalah dia mengetahuinya sendiri semasa di dalam bas apabila pemandu dalam bas ekspress yang dinaikinya membuka radio untuk mengetahui perkembangan banjir disana. Hafizi seperti tergamam apabila mendengar sendiri mengenai berita kejadian banjir lumpur ini melalui info yang disampaikan pembaca radio ketika itu.

Jelas sekali nama Kampung Salak, Teluk Intan Perak itu didengarinya dilanda malapetaka malam itu. Nama bagi syarikat pemaju perumahan itu yang bertanggungjawab membuat projek perumahan di kawasan itu juga disebut melalui saluran radio itu dan ini menyakinkan lagi bahawa sememangnya kejadian yang berlaku itu terjadi di kampung halamannya. Hafizi semakin gusar setelah mengetahui ada jumlah mangsa yang mati juga direkodkan dan turut diumumkan. Dia hanya tunduk dan berdoa sepanjang perjalanan di dalam bas mendoakan semoga keselamatan ahli keluarganya dalam keadaan sepeti diiinginkannya namun sebenarnya telah terjadi perkara yang tidak diketahuinya. Mengetahui mengenai kejadian ini telah membangkitkan lagi pelbagai persoalan bermain di fikirannya namun dia terpaksa juga menenangkan diri sendiri. Setelah bas selamat tiba di Perhentian Bas Utama Teluk Intan, Hafizi terus mengambil teksi untuk dinaikinya pulang ke Kampung Salak. Semasa perjalanan melalui kawasan memasuki Kampung Salak, dia melihat laluan kian mulai sesak untuk dimasuki. Lantaran itu, dia mengambil keputusan untuk berjalan masuk ke kawasan perkampungannya. Di laluan jalan utama itu juga telah ditutup kerana banjir masih belum surut sepenuhnya dan Hafizi dihalang untuk memasuki ke dalam kerana operasi mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan. Menangis teresak-esak Hafizi sewaktu melihat sendiri di depan matanya kawasan rumah yang didiami keluarganya kini telah ditenggelami air dan banjir lumpur yang dibawa bersama. Jika dilihatnya mana mungkin dapat lagi diselamatkan sekiranya terperangkap dalam situasi berkenaan.

Beberapa orang kampung dan anggota bomba cuba menarik dan menenangkannya. Hafizi kelihatan meraung sekuat-kuatnya untuk memanggil ayah dan ibunya seperti tidak dapat menerima kejadian yang berlaku. Longlai rasa kakinya dan mahu sahaja dia rebah disitu namun mereka yang ada disitu segera mencapainya dan membawa masuk Hafizi ke dalam kenderaan untuk dibawa ke pusat pemindahan banjir sementara iaitu di sekolah lamanya Sekolah Menengah Dato Sagor. Tanpa dia sedar dia sebenarnya sudah terbaring ditemani oleh Pak Yaakob dan beberapa orang lagi disisinya. Dia yang dalam keadaan lemah dan kepenatan itu membuka mata dan bangun untuk bersandar serta menyapa Pak Yaakob yang dikenalinya itu. “Pak Yaakob, ayah, ibu saya mana?” soal Hafizi sambil teresak –teresak. Pak Yaakob seperti serba salah untuk memberitahu keperihalan yang sebenar kerana dia sendiri seperti tidak sampai hati untuk menyampaikannya.
“Rumah saya dengan jiran-jiran habis takda, sampai macam tu sekali teruknya” tambah Hafizi. Pak Yaakob mengambil nafas panjang, dia yang meletakkan tangan di bahu anak muda itu berkata “ Keluarga Hafizi dah takda nak, mereka semua tak dapat diselamatkan” jelas Pak Yaakob dengan nada yang perlahan. Mendengar mengenai perkhabaran itu, Hafizi seperti tidak dapat mengawal emosinya. Dia meraung dan menangis sepuas-puasnya di dalam pelukan Pak Yaakob itu kerana terasa cukup kehilangan ahli-ahli keluarganya yang lain. Mana mungkin seorang anak muda seperti dia dapat menerima berita seperti itu kerana kehilangan yang cukup besar dalam hidupnya tambahan lagi dia kini merasakan hidup seumpama tinggal sebatang kara.
Setelah kerja-kerja mencari dan menyelamat dilakukan, mangsa-mangsa banjir yang terkorban telah pun dikenalpasti oleh waris-waris mereka. Hafizi kini ditemani oleh ayah dan ibu saudaranya untuk mengenalpasti dan membuat pengecaman mayat di Hospital Besar Teluk Intan. Dia pasrah dan redha dengan kententuan dan nasib yang diterima oleh dirinya kerana dia sering mengingati pesan dan kata-kata kedua orang tuanya yang setiap yang berlaku cepat atau lambat ada hikmahnya sendiri. Jangan pernah merungut tambah mereka lagi. Di bilik mayat, Hospital Besar Teluk Intan itu, telah dikerumuni oleh saudara-saudara terdekat bagi mangsa-mangsa terkorban yang lain serta dipenuhi oleh pihak media dan pihak berkuasa. Satu persatu ahli keluarga waris mangsa dipanggil masuk untuk membuat pengecaman mayat dan termasuk juga lah dirinya Hafizi Che Samsuri. Saat tiba masa Hafizi dipanggil masuk dia seperti menahan sebak kerana terpaksa melalui keadaan sedemikian. Keadaan yang langsung tidak pernah difikirkannya untuk dirasai dan dia sama sekali tidak bersedia. Ayah saudaranya yang juga adik kepada ayahnya menguatkan semangatnya untuk melangkah masuk ke bilik mayat itu. Satu persatu langkah dibuatnya menuju ke ruangan yang ditunjukkan oleh kakitangan rumah mayat berkenaan. Apabila dibuka satu persatu kain yang menutupi mayat tersebut, kelihatan wajah orang tuanya yang kaku tidak lagi bernyawa. Selang dua dari situ juga kelihatan dua orang adiknya Amar dan Amani yang terbujur kaku dengan pandangan yang begitu menyedihkan sekali.

Ayah saudaranya yang menemani Hafizi itu turut berasa hiba dan sedih melihat situasi itu. Dia bagaimanapun cuba menguatkan semangat dan menerima qada dan qadar ini sambil mengosok-gosok badan Hafizi dari belakang yang sudah menangis teresak-esak itu. Urusan memandikan jenazah ahli keluarganya itu terus disegerakan dan diluar bilik mayat itu juga, saudara-saudaranya telah pun datang membantu memberi sokongan dan nasihat kepada Hafizi baik dari segi fizikal dan moral. Hafizi kelihatan pasrah dan lemah sekali namun dia juga telah menerima hakikat ini yang bahawa dia kini perlu meneruskan hidupnya dan memenuhi impian ayah dan ibunya itu. Hafizi sedikit terkilan kerana beberapa minggu sebelum ini dia tidak menghubungi keluarganya seperti kebiasaannya. Dia yang sering bertanyakan khabar kedua orang tuanya dan pelajaran adik-adiknya ketika di dalam pengajian merasa sedih apabila mengingatinya kembali.

Selesai sahaja pengurusan jenazah ahli keluarganya dijalankan di hospital berkenaan, jenazah ahli keluarganya dibawa ke tanah perkuburan di kampung bersebelahan untuk disemadikan di dalam satu liang lahad. Rakan-rakan pengajiannya yang mendapat berita berkenaan juga hadir sama untuk memberi semangat kepada Hafizi. Bagi Hafizi sendiri yang merasai dan menanggung keperitan itu dia sedih namun berterima kasih kepada yang hadir memberi dorongan kepada dirinya. Dia juga memaklumkan kepada rakan-rakannya yang dia tidak dapat hadir dan pulang dalam masa terdekat untuk menguruskan perkara dan hal-hal yang perlu diselesaikannya.
Sejurus selesai pengembumian dijalankan Hafizi pulang ke rumah ayah saudaranya dan menetap di sana buat sementara waktu. Pada malam itu melalui berita yang dilihatnya, keadaan kejadian yang berlaku di Kampung Salaknya itu mendapat liputan meluas oleh siaran televisyen dan kejadian buruk yang berlaku ini juga dikenalpasti dan disahkan oleh pihak berkuasa berpunca daripada projek perumahan yang tergendala di kawasan bukit diatas perkampungan Kampung Salak itu. Tambahannya lagi, projek perumahan yang ingin dibangunkan itu belum mendapat kelulusan sepenuhnya dari pihak berkuasa tempatan namun pemaju masih lagi berdegil untuk menjalankan aktiviti pembangunan perumahan disitu. Oleh kerana telah diserbu dan mendapat pembatalan lesen membangunkan perumahan disitu justeru pemaju terbabit telah menangguhkan sementara kerja-kerja disitu tanpa memikirkan bencana yang boleh berlaku daripada tindakan mereka itu. Tambahannya lagi hujan lebat yang melanda kawasan itu juga sudah dijangka namun dengan pembinaan kawasan perumahan di cerun bukit ini yang menjadi faktor utama kepada banjir lumpur itu berlaku. Struktur tanah yang longgar dan keadaan cerun bukit yang tidak ditarah mengikut standard juga yang membuatkan runtuhan berlaku terus ke kawasan kejadian.
Peristiwa yang berlaku keatas diri Hafizi itu sama sekali mengubah hidupnya, tempat dirinya sering bergantung dan mengadu sudah tiada lagi dan kini dia mengharapkan keprihatinan dan ihsan dari ayah dan ibu saudaranya untuk menjaganya. “Hafizi, yang dah lepas tu biarkan berlalu, Hafizi kena kuat untuk teruskan hidup Fizi dan pengajian Hafizi, kalau ada masalah duit atau apa saja bagitahu sama dekat Pak Ngah ya?” kata ayah saudaranya itu. Walaubagaimanapun, dia yang kini merupakan salah seorang pelajar dan sedang menyambung pengajiannya, dia juga tidaklah ingin membebankan keluarga saudaranya itu kerana mengerti bahawa mereka bukanlah dari orang yang senang dan perlu memberi perhatian kepada anak-anak mereka yang masih kecil lagi.

Dengan pengajiannya yang sedang berlangsung selama 4 tahun ini, dia berazam untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam setiap semester untuk mengubah nasib dirinya dan keluarganya yang sebelum ini diimpikannya. Rasa terkilan itu tetap ada pada dirinya kerana sebagai anak lelaki sulung dan yang pertama berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, dia memasang niat untuk cemerlang dalam akademik dan yang pastinya ingin melihat ayah dan ibunya memakai jubah konvokesyen apabila di majlis graduasinya namun kini hanya tinggal tersemat jauh di lubuk hatinya. Bagi dirinya, dia takkan sesekali melupakan tarikh kejadian yang berlaku pada dirinya ini dan menjadikan ianya sebagai pengalaman pahit yang pernah dilaluinya. Dia juga turut menerima pelawaan dari pihak lain untuk menjadikan dia sebagai anak angkat dan tidak juga menerima pelawaan bantuan dari agensi-agensi yang lain yang turut prihatin terhadap kisahnya ini.

Seminggu sudah pun berlalu, Hafizi kini kembali semula ke kampus pengajiannya yang terletak di Serdang, Selangor untuk memulakan kelasnya seperti biasa. Sampai sahaja di kolej penginanpannya malam itu, rakan-rakannya di kolej telah menanti untuk menyambut kepulangannya kembali ke sini sebagai tanda memberi sokongan moral dan semangat buat dirinya. Tidak putus-putus rakan-rakannya datang ke biliknya untuk berjumpa sendiri, menyampaikan ucapan takziah dan rasa simpati kepada Hafizi. Pihak pengurusan kolej di tempat Hafizi menetap juga telah menjalankan kutipan derma kilat dari setiap aras blok sehingga ke setiap blok di kolej tersebut. Sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu Hafizi dalam menguruskan perbelanjaan harian dan akademiknya. Mereka juga mengadakan bacaan yasin beramai-ramai untuk mendoakan kesejahteraan ahli-ahli keluarga Hafizi yang telah pergi meninggalkannya. “ Alhamdullilah, terima kasih Tuan Pengetua dan semua yang hadir malam ini” ucap Hafizi kepada rakan-rakan dan warga kolejnya yang menghadiri pada malam itu. Dia bersyukur dan terharu kerana walaupun dia masih baru disitu namun keprihatinan mereka mengadakan majlis bacaan yasin sedemikian sangat membantunya.

“Lepas ni Hafizi, saya nak kamu tumpukan kepada pelajaran kamu, saya faham ada masa kamu akan ada rasa down dan sedih tapi jangan pendamkannya dalam diri kamu itu sendiri, kita di kolej ni pun ada sediakan sesi kaunseling dan kalau tak keberatan kamu boleh saja datang berjumpa saya” pelawa Pengetuanya ketika selesai sahaja majlis bacaan yasin itu diadakan di Surau Maizatul Hasanah berdekatan kolejnya. “ Terima kasih Prof, saya hargai dan faham apa yang Prof maksudkan, Insyaallah saya akan kuatkan semangat untuk hari-hari mendatang, kawan-kawan kat sini pun banyak bantu saya sebelum ini” jawab Hafizi.

Masa berlalu dengan pantas, kini Hafizi telah pun berada di tahun akhir pengajiannya dan menunggu masa untuk menamatkan latihan industrinya di syarikat yang dicari dan dipilihnya. Tragedi menyayat hati yang berlaku di Kampung Salak, Perak beberapa tahun lalu itu sebenarnya telah membuka mata ramai pihak terutamanya pihak pemaju dan penguatkuasa tempatan. Mereka kini lebih tegas dan banyak melakukan pemantauan secara turun padang untuk mengesan tapak-tapak projek perumahan yang menjalankan aktiviti pembangunan secara tidak mengikut prosedur. Hafizi memilih salah sebuah syarikat yang menyediakan khidmat nasihat berkaitan alam sekitar berdekatan dengan kampungnya dahulu sebagai tempat dia menjalankan latihan industri selama 6 bulan. Sepanjang tempoh latihan industrinya itu pelbagai ragam dan karenah manusia yang telah dilihatnya terutama sekali pihak pemaju yang tegar dalam menjalankan kerja-kerja di tapak projek mereka dan dia banyak mempelajari daripada pegawai-pegawai yang diikutinya. Kampung Salak yang dahulunya merupakan antara kawasan perusahaan penanaman padi juga telah banyak membangun dan penduduknya turut menerima manfaat dari pembangunan tersebut. Persekitaran kampung dan kawasan itu juga telah dinaiktaraf demi kesejahteraan penduduk kampung disitu.

“Hafizi, selama kamu praktikal dekat company kami ni, banyak yang saya tengok kamu belajar dan saya rasa seperti rugi kalau kami tak offer kan job dekat kamu since kamu dah tahu macam mana kita beroperasi” jelas Pengurus Agensi Khidmat Nasihat Alam Sekitar itu, Tuan Haji Azman kepadanya. “Dari segi akademik kamu, saya cukup kagum sebenarnya walaupun saya ada terbaca sama background tentang diri kamu masa kamu hantar permohonan dan resume dekat syarikat kami ini”, “Jujur saya boleh cakap, yang kami perlukan orang seperti kamu plus kamu pun anak jati dari sini juga, staf – staf dekat sini pun takda masalah untuk bekerja dengan kamu” tambah Tuan Haji Azman itu dengan senyumannya. Mendengar pujian dan perlawaan itu, Hafizi juga turut melirikkan senyumannya kerana selama beberapa tahun ini, dia telah berusaha bersungguh-sungguh sepanjang pengajiannya untuk menyediakan dirinya sendiri mendapatkan pekerjaan dan memenuhi impiannya. Dia menerima pelawaan pengurusnya syarikatnya itu dengan hati terbuka dan berterima kasih kerana merasakan bukan mudah untuk terus ditawarkan pekerjaan semasa masih lagi dalam tempoh pengajian. Tamat sahaja praktikalnya disitu, dia kembali ke kampusnya untuk menyelesaikan tugasan-tugasan akademiknya yang lain. Dia juga telah terpilih menjadi salah seorang calon cemerlang akademik bagi tahun itu dan menunggu masa untuk majlis graduasinya.

4 tahun pengajiannya kini telah pun berakhir. Hari ini Hafizi akan menerima segulung ijazah yang menjadikan dirinya kini sebagai salah seorang graduan. Dia bersyukur kerana telah berjaya meletakkan dirinya ke tahap sedemikian walaupun mengharungi pelbagai pahit jernih pengalaman sepanjang ini.Di hari graduasinya itu, dia berkata kepada dirinya “Alangkah baiknya dan gembira aku kalau ayah, ibu dengan yang lain ada sekarang ini, Terima kasih semua” bisik hatinya. “Penerima seterusnya, Muhammad Hafizi bin Che Samsuri!!”, tersentap Hafizi dari lamunannya, bergema dewan utama itu dengan hadirin bangun semuanya untuk memberi tepukan dan sorakan yang gemuruh kepada dirinya ketika namanya dipanggil. Lantas dengan hematnya dia berjalan menuju keatas pentas itu yang menyaksikan Hafizi adalah antara penerima Anugerah Tertinggi Akademik Universiti bagi graduasi pada tahun itu.

TAMAT



MUHAMMAD ARIF IKHMAL MOHAMAD KAMAL
AMIR HAMZAH SHARAAI

dibaca
783
IMEJ RAWAK
ARTIKEL
Sustainable Living
Jalan yang dipilih
Bangkit
Teknik Lakonan Dalam Penghayatan Konsep Penilaian Kitar Hayat
BLOG