A
PROFILE
Laman Web Staf UPM
PROF. MADYA DR. AMIR HAMZAH BIN SHARAAI
PROFESOR MADYA
FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
amirsharaai
BM
EN

Bangkit

- 09 Mar 2022
HIJAU. Satu gambaran yang jelas menunjukkan keindahan alam sekeliling kita. Namun, tidak semua kehijauan ini dapat dihargai oleh setiap manusia dimuka bumi ini. Jelas terbukti penebangan hutan di sana sini, pembalakan berleluasa dan pembakaran menguasai minda manusia. Meskipun, kesan dan akibat melalui aktiviti ini telah diketahui oleh setiap lapisan masyarakat, tetapi sikap tamak kini menguasai diri apabila melihat wang sebagai pengganti. Bagi mereka, hutan dinegara ini luas, mengapa mahu bimbang akan berlakunya penebangan pokok bagi mendapatkan kayu-kayu yang berharga. Nilainya lagi penting berbanding keindahannya. Satu nikmat yang telah Allah kurniakan diatas muka bumi ini telah dianiaya. Mengapa dikatakan begitu? Sekiranya kita terus-menerus menyalahgunakan nikmat tumbuhan ini semata-mata untuk duit, ianya hanya mendatangkan kemudaratan ke atas setiap hidupan yang menumpang dimuka bumi ini. Satu persatu keaslian hutan kini dicurangi oleh manusia. Mana perginya rasa tanggungjawab? Mana perginya rasa perikemanusiaan? Semua itu kini lenyap begitu saja. Tepuk dada tanya iman.

Disebalik kehijauan yang sedang dinikmati oleh seorang pakcik tua ini, terselit seribu satu kisah pahit manis yang harus ditelannya semasa 30 tahun dahulu. Kehidupan yang dilaluinya dahulu dan kini telah banyak berubah. Menungan orang tua itu terhenti apabila bahunya disentuh lembut oleh isterinya “Jauh termenung pak nya. Sedang fikir apa tu?”, tanya isterinya itu. Pakcik tua itu atau lebih dikenali sebagai Pak Leman tersenyum melihat isterinya itu membawa satu teko teh panas dan sepiring biskut bersamanya. “Tiada apa yang dimenungkan Timah, abang cuma gemar melihat kehijauan kebun kita ini.” Jawab mesra Pak Leman terhadap soalan Mak Timah.

Pak Leman dahulunya bekerja sebagai pemandu jentolak berjenama Komatsu itu telahpun bersara daripada pekerjaannya memandangkan usianya sudahpun mencapai 60 tahun. Baginya, dia masih mampu lagi bekerja sebagai pemandu jentolak , namun atas beberapa faktor beliau nekad untuk berhenti bekerja. Anaknya, juga menyarankan agar Pak Leman hanya duduk dirumah sahaja memandangkan mereka berempat mampu untuk menyara kedua ibu dan bapa mereka. Anaknya yang pertama diberi nama Alif. Beliau merupakan anak sulung Pak Leman yang bekerja sebagai kontraktor kilang yang berhampiran rumahnya. Anak keduanya diberi nama Farid yang bekerja sebagai pengurus ladang sebuah estet kelapa sawit. Anaknya yang ketiga, Mawar menjadi seorang pensyarah di sebuah IPT dan anak bongsunya bekerja sebagai seorang guru yang memegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

Apabila teringat sahaja kisah Pak Leman sebagai pemandu jentolak 30 tahun yang lalu, beliau akan menitiskan air mata dengan sendirinya. Hati kecilnya mudah tersentuh apabila mengenangkan pekerjaannya itu. Ya, pekerjaanya itu halal dan tidak dilarang dari sisi agama. Namun, jauh dilubuk hatinya, beliau sendiri dapat mengenal pasti kesan buruk terhadap kehidupan lain diatas perbuatan masa lampaunya. Pak Leman bekerja sebagai pemandu jentolak yang bertugas untuk memusnahkan kebanyakan hutan untuk dijadikan jalan raya. Baginya pada waktu itu, wang adalah lebih penting dan tidak pernah terlintas difikirannya sekalipun kesan terhadap penghuni hutan yang dihuni oleh haiwan dan pokok-pokok hijau. Apabila beliau menitiskan airmata kecewa, Mak Timah akan berkata, “Barang yang lepas usah dikenang bang. Setidaknya dengan pekerjaan itu juga abang mampu membesarkan anak kita dengan baik. Makan cukup. Pelajaran juga diberi sebaiknya. Bagi saya abang telah menjalankan tanggungjawab abang dengan jayanya.” Senyuman kelat diberikan kepada isterinya. Apabila difikirkan semula apa yang dikatakan oleh Mak Timah itu ada betulnya juga. Anak-anak mereka semuanya berjaya menghabiskan pelajaran dan telahpun bekerja dalam bidang yang bagus.

Semasa bekerja sebagai pemandu jentolak dahulu, Pak Leman telah banyak memusnahkan pokok-pokok besar yang akan menyebabkan kemerosotan tanah. Paling tidak boleh dilupakan apabila terdapat satu kes tanah runtuh menyebabkan kematian beberapa ahli keluarga di tempat kejadian. Kemalangan ini berlaku kerana tanah tinggi ditepi jalan raya telah runtuh dan menutupi kawasan jalan raya. Kesan daripada kemusnahan hutan-hutan yang telah dimusnahkan oleh jentolak Pak Leman. Pada masa itu, Pak Leman menghadapi tekanan yang amat tinggi sehingga dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas. Tragedi hitam itu masih tersemat rapi diingatan Pak Leman dan seluruh ahli keluarganya.
Sejak peristiwa hitam itu, Pak Leman kini hanya duduk dirumah menjaga dusun yang telah diwarisi oleh bapanya kepada Pak Leman. Memandangkan umur juga sudah menjelang senja, elok jugalah buat Pak Leman duduk di rumah dan berehat. Anak-anaknya yang baik hati dan bertanggungjawab juga merupakan salah satu punca Pak Leman boleh berehat dengan senangnya. Jasa yang telah dicurahkan oleh Pak Leman membesarkan anak-anaknya tidak dapat dibalas oleh mereka. Susah payah Pak Leman membesarkan empat orang anaknya itu ditemani pahit getir yang susah diungkapi. Masa merubah segalanya. Kini Pak Leman dengan hidupya yang baharu.

Sebelum bapa Pak Leman meninggal dunia, bapanya telah mewariskan dusunnya kepada Pak Leman. Dusunnya itu dipenuhi dengan pelbagai jenis buah-buahan seperti rambutan, durian dan manggis. Tiba sahaja musim durian dan rambutan, rumah Pak Leman akan dipenuhi dengan saudara-mara untuk menikmati buah-buahan yang segar dipetik terus dari pokok. Namun, sedikit kesusahan perlu dihadapi. Untuk ke dusun, Pak Leman perlu melalui kawasan yang agak berhutan. Tetapi, semasa Pak Leman bekerja sebagai pemandu jentolak dahulu, beliau telahpun menolak beberapa pokok besar untuk dijadikan jalan raya. Pernah juga hal ini dipersoalkan oleh anaknya, iaitu Farid. Farid bertanya kenapa perlu dimusnahkan dusun yang sedia ada hanya untuk dijadikan jalan raya. Bagi PakLeman, tujuannya hanya untuk memudahkan sahaja pergerakan mereka untuk ke dusun kelak.

Setelah adanya jalan raya tersebut, telah ramai orang yang boleh memasuki dusun Pak Leman secara senyap. Terutamanya apabila musim buah-buahan. Hal ini telah menyebabkan Pak Leman rasa risau akan dusunnya itu. Pernah juga beliau ternampak satu lori kecil memasuki dusunnya. Pada sangkaannya mungkin lori itu sesat. Tetapi, semakin hari semakin pelik apabila lori itu kerap kali memasuki dusunnya. Apabila Pak Leman memeriksa dusunnya itu, terdapat kekurangan buah-buahan yang ada. Memang tepat sangkaan anaknya Mawar, bahawa lori yang masuk itu telah mencuri buah-buahan yang ada didusun ayahnya itu.
Bagi keluarga mereka, sekiranya penduduk disitu mahukan buah-buahan di dusunnya, boleh sahaja meminta kebenaran untuk mengambilnya. Tetapi sekiranya mencuri, ianya agak kurang enak didengar kerana perbuatan itu menyalahi hukum mana-mana agama yang ada didunia ini. Di kampung mereka terdapat pelbagai bangsa yang menjadi jiran mereka. Ada juga orang luar dari bandar yang merantau ke kampung mereka untuk mencari nafkah.

Kampung Megah iaitu sebuah kampung yang baru sahaja ingin membangun telah menjadi satu kawasan yang dipenuhi dengan pelbagai jentera berat yang sedang menjalankan tugas merobohkan bangunan begitu juga pokok-pokok yang tidak berkenaan. Terdapat segelintir penduduk yang gembira apabila mengetahui kampung mereka akan menjadi sebuah pusat tumpuan ramai orang kerana akan dijadikan sebuah bandar baru dan akan dibina kawasan perumahan serta perkilangan. Namun begitu, terdapat juga segilintir penduduk yang kurang senang dengan pembangunan yang bakal berlaku kerana bimbang yang mereka akan rindu suasana kampung seperti sekarang. Ada juga yang bimbang kerana mereka perlu berpindah ke tempat lain kerana kawasan rumah mereka akan dibangunkan. Perkara ini telah menimbulkan pelbagai jenis isu di Kampung Megah yang tidak lama lagi akan ditukar namanya kepada Bayu Megah. Pak Leman dan keluarganya juga turut bimbang akan keadaan ini. Pada masa yang sama beliau sekeluarga turut mahukan pembangunan yang pesat dikawasan kampungnya memandangkan kampungnya mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi sebuah kawasan bandar yang maju. Kampung Megah mempunyai pelbagai kemudahan kawasan rekreasi dan perhutanan yang baik. Kawasan hutan Kampung Megah diliputi dengan pelbagai jenis pokok yang mahal dan berguna.

Pada pagi ini, seperti biasa rutin Pak Leman iaitu membersihkan kawasan kebunnya dengan menyapu daun-daun kering. Setelah penat berkebun, Pak Leman berhenti seketika dan meneguk air sejuk yang dibekalkan oleh Mak Timah untuknya membasahkan tekak. Dilihatnya kawasan sekeliling kebunnya yang nyaman dan redup dilindungi pokok buah-buahan yang segar. Sungguh indah ciptaan Allah. Sekali lagi Pak Leman terkenang akan pekerjaannya yang dahulu iaitu memusnahkan alam ini dengan rakusnya. Namun kini beliau telah sedar dan cuba untuk menebus semula kesilapannya dahulu dgn menghabiskan sisa usianya dengan menjaga kebun yang telah diwasiatkan oleh bapanya kepadanya.

Di Kampung Megah terdapat banyak jenis aktiviti yang dijalankan oleh penduduk kampung itu. Antara yang popular ialah pertanian dan penternakan. Dari segi pertanian, kampung ini terkenal dengan pelbagai jenis tanaman. Dari segi penternakan pula, kampung ini terkenal dengan ternakan lembu. Tiap kali raya haji menjelma, kampung ini menjadi tumpuan pembeli-pembeli untuk membeli lembu untuk dikorbankan. Saiz lembu yang besar dan sihat menjadi kegemaran para pembeli.

Namun begitu, setiap aktiviti yang dianggap menguntungkan ini telah mendatangkan kemudaratan ke atas sumber utama itu sendiri. Kesan buruk ini tidak terlihat dalam jangka masa yang singkat namun dalam jangka masa yang panjang. Generasi baru akan kehilangan rasa untuk menikmati keindahan alam semesta ini termasuklah pertanian dan penternakan yang dijalankan.

Memang benar pertanian merupakan satu aktiviti yang baik untuk penduduk dikampung ini. Namun kekurangan teknologi yang ada telah menyekat proses penanaman yang betul untuk setiap tanaman. Penduduk kampung ini terpaksa menjalankan ajtiviti pertanian dengan menggunakan teknik tebas dan bakar. Teknik ini merupakan teknik yang agak mudah dan menggunakan kos yang murah berbanding teknik yang lain. Teknik ini memerlukan proses penebangan hutan atau pembakaran bagi kawasan yang berpokok untuk menghasilkan ladang. Penduduk di sini akan menebas dahulu batang pokok yang tinggi untuk memudahkan proses pembersihan kawasan hutan untuk dijadikan ladang.

Setelah kawasan hutan tersebut bersih. Penduduk kampung akan mula membakar kawasan tersebut untuk dibersihkan dari segala pokok yang telah ditebang menjadi rendah. Apabila hujan, abu dari proses pembakaran itu akan lenyap dan membersihkan kawasan hutan yang mahu dijadikan ladang itu. Setelah itu penduduk kampung akan mulabercucuk tanam. Tanaman ini selalunya tanaman yang memerlukan masa yang lebih kurang tiga tahun untuk mendatangkan hasil. Setelah hasil dikutip, tanaman itu akan dibiarkan sahaja begitu. Petani akan mencari tempat baharu untuk dijadikan mangsa seterusnya. Kekurangan nutrien juga menjadi punca utama petani memulakan pertanian dikawasan yang baharu. Setelah nutrisi didalam tanah itu kembali lebih kurang 20 tahun, petani akan menggunakan semula kawasan tersebut menggunakan teknik yang sama.

Proses ini akan menyebabkan degradasi tanah yang mana tanah menjadi poros dan tiada akar untuk menggenggam tanah tersebut. Sekiranya berlakunya hujan, tanah akan terus memasuki sungai dan menyebabkan kawasan ini sering dilanda banjir apabila hujan dan rebut yang kencang. Kesan daripada manusia itu sendiri menyebabkan kehidupan orang lain terjejas.

Pelbagai kesan buruk terhadap teknik tebas dan bakar ini. Antaranya ialah jerebu. Kesan ini jelas terjadi dikampung ini setiap kali teknik ini dilaksanakan. Asap daripada proses pembakaran itu jelas menutupi ruang udara kawasan kampung ini sehingga pernah pada satu masa dahulu sekolah di kawasan kampung ini diarahkan untuk tutup buat sementara waktu. Kerana bacaan indeks udara telah melebihi hadnya. Ramai juga penduduk yang dikejarkan ke hospital kerana semput dan asma.

Seterusnya, kesan buruk ke atas aktiviti ini ialah kepupusan hidupan liar di kawasan kampung itu sendiri. Seperti yang kita tahu, di kampung-kampung akan terdapatnya pelbagai binatang yang sukar untuk dijumpai di mana-mana kawasan bandar kecuali di zoo. Namun, kini dikampung juga seperti dibandar yang mana haiwannya semakin pupus kerana kesan daripada habitatnya terancam. Kini tiada lagi monyet-monyet yang bergayut ditepi jalan dipokok-pokok kerana tiada tempat untuk mereka bermain. Banyak lagi binatang yang kini telah pupus dan lari kerana tiada tempat tinggal.

Malah terdapat juga haiwan berbisa dan berbahaya seperti ular yang sering muncul di kampung ini menyebabkan penduduk kampung takut untuk menjalankan riadah di luar rumah. Puncanya juga dari mereka. Jadi kenapa perlu takut ? Namun begitulah lumrah kehidupan di dunia, tiada siapa yang pernah mengaku salah atas kesilapannya sendiri. Semuanya mementingkan diri. Ego. Tiada belas kasihan setitik pun buat ciptaan Allah yang tidak pandai berkata-kata ini. Semuanya memikirkan keuntungan sehingga mengabaikan tanggungjawab sesama makhluk di atas muka bumi ini.

Anak Pak Leman menyedari situasi ini dan pernah menegur penduduk kampung mengenai perbuatannya ini, namun hanya diendahkan dan dijadikan buah mulut orang kampung kerana katanya anak Pak Leman itu hanya pandai berkata tetapi ayahnya juga suatu ketika dahulu merupakan salah seorang yang merosakkan alam ini. Apabila dikatakan begitu, Pak Leman sekeluarga hanya berdiam diri sahaja kerana bagi mereka perkara itu telah berlalu dan Pak Leman telah pun berhenti dari pekerjaan lamanya.

“Buat apa difikirkan orang luar tepi nak cakap pasal kita, biarkan mereka berkata asalkan kita tahu kebenarannya ayah”, kata Farid kepada ayahnya. Kerana kadang-kadang Pak Leman terlampau memikirkan bual bicara orang kampung sehingga menyebabkan dirinya jatuh sakit. Pernah suatu masa dahulu Pak Leman dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas apabila terlampau resah memikirkan buah mulut orang kampung yang bermulut lancang itu. Sejak dari itu, anak-anak Pak Leman dan Mak Timah menasihati Pak Leman agar lebih tenang dan tidak memikirkan apa orang kata. Akhirnya Pak Leman kini lebih tenang dan banyak berdiam diri membuat kerjanya sendiri iaitu menjaga dusun kesayangannya itu. Dari situ Pak Leman belajar untuk menerima pandangan orang dan lebih bersikap terbuka. Baginya apa yang penting sekarang ini hanyalah keluarganya, dusun kesayangannya dan pencipta-Nya.

Pak Leman dan Mak Timah amat gembira apabila tibanya musim cuti kerana anak mereka akan pulang iaitu Mawar yang jauh dipandangan mata mereka berdua. Tiga orang anaknya tinggal serumah dengan Pak Leman. Mawar yang merupakan pensyarah di Universiti Putra Malaysia hanya pulang ke rumahnya apabila tibanya musim cuti semester. Kepulangan Mawar disambut penuh gembira oleh mereka sekeluarga. Mawar merupakan kebanggaan mereka sekeluarga kerana telah berjaya menjadi pensyarah sekaligus menjadi contoh kepada anak muda dikampung mereka yang masih bersekolah.

Tiap kali Mawar pulang ke kampung. Mawar akan mengambil upah mengajar anak kampung itu tuisyen yang kadangnya berbayar dan setengahnya percuma. Mawar hanya membantu sahaja mana keluarga yang kurang berkemampuan itu kerana baginya ilmu yang dikurniakan kepadanya itu merupakan salah satu kelebihan yang hanya dipinjamkan oleh Allah untuk membantu sesama manusia. Apalah sangat nak dibandingkan dengan ilmu yang ada ini dengan wang ringgit.

Mawar sering teringat akan jasa ibu dan bapanya yang berhempas pulas membesarkan mereka adik-beradik sehingga menjadi manusia berguna. Kini baginya sudah tiba masanya untuk dirinya membalas jasa yang telah diberikan oleh ibu dan bapanya itu dengan cara menyampaikan ilmu yang ada kepada orang lain pula. Pahalanya takkan habis. Malah akan sentiasa mengalir ibarat air sungai yang tidak berhenti arusnya. Mereka adik-beradik amat rapat. Semua yang pahit dan manis kehidupan mereka akan dikongsi bersama. Indahnya keluarga itu apabila hidup bersederhana tetapi bahagia. Apa gunanya kaya tetapi hubungan kekeluargaan ibarat orang asing yang tidak dikenali.

Pak Leman dan Mak Timah amat bersyukur kerana mempunyai anak yang boleh bersepakat. Paling seronok apabila mereka dapat berkumpul bersama, makan bersama dan solat berjemaah bersama. Biasanya mereka akan berkongsikan cerita mereka sepanjang hari dan gurau senda yang diselangi gelak-tawa bahagia mereka sekeluarga. Mawar merupakan pensyarah dalam bidang Pengurusan Alam Sekitar. Baginya alam ini merupakan satu ciptaan yang terindah yang dipertanggungjawabkan oleh Pencipta kepada setiap yang lahir ke muka bumi ini. Sepanjang Mawar menjadi pensyarah ini, beliau mempelajari banyak perkara dan sekaligus menjadikannya lebih peka akan setiap perubahan yang berlaku dikampungnya itu. Penduduk kampung yang kininya mulai sedar akan kesan terhadap aktiviti silam mereka akhirnya telah dibalas dengan pengambilan tanah mereka untuk dijadikan kawasan membangun.

Pada masa dahulu kampung itu juga terkenal dengan kawasan penternakan lembu. Oleh sebab sikap penternak yang tamak membela lembu melebihi had kawasan tersedia telah menyebabkan lebihan ragutan rumput dikawasan tersebut. Apabila rumput semakin berkurang, tanah akan terdedah kepada angin kuat dan hujan lebat. Ini akan menyebabkan tanah akan kurangsubur kerana kesan daripada ragutan binatang ternakan kepada rumput yang tidak mencukupi. Sesetangah akar daripada rumput itu akan tercabut apabila lembu meragut rumput menyebabkan rumput tidak tumbuh lagi dan spesis yang seterusnya tidak dapat meragut rumput.

Keadaan ini menyebabkan tanah di kawasan perkampungan itu kontang kerana kekurangan rumput. Dahulunya kawasan itu dikenali sebagai kawasan penternakan yang popular, kini menjadi sejarah. Banyak lembu yang tidak sihat dan mati kerana tidak cukup makanan. Ketika itu Mawar masih lagi dalam proses pembelajaran di universiti dan tidak dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk kampung. Namun kini Mawar mahu membantu tetapi sudah terlambat kerana kawasan itu juga akan diambil oleh pihak kerajaan untuk dibangunkan.

Semua penduduk ingin mempertahankan hak mereka namun apakan daya kuasa mereka tidak setinggi kuasa yang ada pada pihak kerajaan. Oleh sebab mereka tidak dapat menjaga tanah itu dengann baik maka telah menyebabkan satu lagi bonus buat pihak kerajaan untuk mengambil semula tanah berkenaan. Tetapi setiap penduduk akan diberikan wang pampasan dan tempat tinggal yang lebih selesa. Namun bagi mereka rumah kampung tetap menjadi pilihan kerana hasil daripada titik peluh mereka sendiri untuk mendirikannya.

Pak Leman dan Mak Timah agak risau sekiranya rumah mereka dan kebunnya turut diambil. Ketakutan itu turut menjadi realiti apabila mereka telah menerima sepucuk surat untuk berpindah dan perlu ke mahkamah. Tetapi yang menjadikan situasi ini lebih pelik apabila hanya kawasan rumahnya sahaja yang menjadi kawasan untuk dibuat jalan raya namun kawasan kebunnya tidak diambil. Pihak Jabatan Kerja Raya menyatakan bahawa kebunnya hanya terkena sebahagian kecil sahaja tetapi tidak semua. Pak Leman sekali lagi memikirkan bagaimana dia hendak pergi ke kebunnya nanti. Hatinya kini semakin gelisah.

Baginya kebunnya itu merupakan tempat untuk beliau mencari ketenangan apabila ditimpa masalah. Kemurungan Pak Leman menjadi kerisauan anak-anaknya dan isterinya. Sehinggalah pada satu malam Pak Leman mengadu kepada Mak Timah yang dadanya terasa sakit dan pedih sehingga susah untuk bernafas. Mujur sahaja semua anaknya ada dirumah. Mak Timah mengejut anaknya Alif kerana jam sudah menunjukkan jam tiga pagi. Alif bangun dengan tergesa dan Mak Timah mengejut anaknya yang lain pula.

Pak Leman dikejarkan ke klinik berdekatan dan dihantar ke hospital terdekat kerana memerlukan rawatan yang lebih lanjut. Pak Leman ditahan di wad selama seminggu kerana badannya lemah dan memerlukan rehat yang secukupnya. Mak Timah setia menunggu disamping suaminya tercinta bergilir dengan anak-anaknya yang lain. Kasih sayang yang ditunjukkan oleh mereka menjadi contoh teladan yang baik buat semua umat manusia. Ternyata masa susah kita akan ditemani dengan ahli keluarga kita bukannya rakan-rakan yang ada hanya tatkala senang.

Ramai juga penduduk kampung yang datang menziarahi Pak Leman di hospital dan membawa buah tangan untuknya. Tapi sayang, kerana masa sakit Allah tarik nikmat selera makan tetapi masa itulah ramai yang cuba datang menambat hati pesakit untuk makan makanan yang dibawa. Hari-hari Mak Timah membawa bekal dari rumah buat Pak Leman kerana katanya masakan di hospital tiada rasa dan tidak sedap. Itu sudah menjadi lumrah sesiapa sahaja yang menjadi penghuni hospital. Makanannya kurang garam dan agak tidak menyelerakan. Tetapi demi menjaga pesakitnya, pihak hospital terpaksa menyediakan hidangan sebegitu.

Pak Leman mengadu rindukan dusunnya kerana telah lama tidak menjenguknya. “Ayah kena sihat dulu baru boleh pergi kebun, kalau tak ayah kena duduk sini sampai ayah sihat”, kata Rima anak bongsu Pak Leman kepada ayahnya. Pak Leman kini semakin hari semakin pulih dah sihat. Setelah cukup seminggu menjadi penghuni di hospital itu akhirnya Pak Leman dibenarkan untuk keluar tetapi perlu mendapatkan rawatan seminggu sekali untuk doktor memeriksa kadar denyutan jantung Pak Leman supaya seperti sedia kala. Mak Timah menasihati Pak Leman agar duduk dirumah sahaja dahulu dan tunggu sihat sebetulnya barulah pergi menjenguk kebun yang dirinduinya itu. Pak Leman hanya menurutkan sahaja kerana beliau tidak mahu menyusahkan isterinya lagi yang perlu menjaganya di hospital itu. Di rumah Pak Leman membantu Mak Timah mengemas rumah dan sering membantu Mak Timah di dapur. Baginya tugas seorang isteri itu amat berat kerana semua perkara perlu disediakan oleh seorang insan yang mendapat gelaran isteri. Tidak salah sekiranya seorang suami membantu isteriya malah wajib bagi seorang suami untuk membantu isterinya. Keserasian Pak Leman dan Mak Timah menjadi contoh untuk anak-anaknya yang kini kian dewasa dan mula mencari pasangan hidup. Alif anak sulungnya dikhabarkan telah pun menjumpai pasangan yang berkenan dihati tetapi belum lagi merealisasikan hasratnya itu. Namun begitu, setelah melihat keadaan ayahnya yang semakin hari semakin pulih, Alif telah menyatakan hasratnya untuk bertunang dengan wanita pilihannya itu.

Mak Timah amat gembira mendengar berita baik itu dari anaknya, begitu juga dengan Pak Leman dan adik-beradiknya yang lain. Bagi adik-adiknya mereka perlu hormat abangnya itu dengan membenarkan Alif berkahwin dahulu dan sekiranya ada jodoh pasti giliran mereka pula selepas ini. Majlis pertunangan Alif diadakan secara sederhana sahaja kerana wanita itu merupakan orang kampung situ juga dan keluarga mereka amat rapat. Tunangnya yang bernama Alia itu merupakan sahabatnya dari sekolah rendah lagi. Kedua-dua keluarga mereka sememangnya menginginkan mereka disatukan. Akhirnya kini cita-cita mereka tercapai.

Pak Man amat gembira apabila mereka telah menjadi satu keluarga. Baginya hubungan yang ada ini perlu dikekalkan sehingga ke jinjang pelamin. Selesai sahaja kenduri kesyukuran, mereka berkumpul bersama-sama untuk membincangkan perihal kampung mereka yang bakal diambil tidak lama lagi. Pak Man menyatakan kesedihannya dan kerana sejak kecil lagi mereka telah membesar disitu begitu juga dengan Pak Leman. Lebih 50 tahun mereka menjadi penghuni Kampung Megah. Pelbagai kenangan pahit manis dikongsikan bersama.

Pak Man juga mempunyai sebuah kebun dikampung ini. Semua kebunnya akan diambil untuk dibuat bangunan dan kawasan rumahnya pula akan diambil untuk dibuat jalan raya. Kesedihan yang dirasai itu turut dirasai oleh Pak Leman sekeluarga kerana mereka selalu menghabiskan masa bersama-sama apabila mempunyai masa lapang. Bagi mereka setiap penduduk di kampung itu merupakan saudara mereka sendiri. Hubungan mereka sangat rapat dan mereka saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Seminggu telah berlalu sejak berlangsungnya majlis pertunangan anak Pak Leman dan Pak Man. Majlis perkahwinan mungkin akan berlangsung pada tahun hadapan. Kini persiapan sudah mula disediakan supaya tidak kelam-kabut semasa tarikh hampir tiba. Tetapi kini semua penduduk kampung fokus dengan segala persiapan yang perlu mereka laksanakan bagi memudahkan proses pemindahan dan pengurusan penjualan kebun kepada pihak yang bertanggungjawab. Banyak proses yang perlu dilalui sebelum pembayaran wang pampasan dilakukan kepada penduduk kampung. Mereka perlu pergi ke mahkamah bagi menguruskan beberapa dokumen penting untuk ditandatangani.

Setiap rumah yang diambil akan digantikan dengan rumah baharu serta duit pampasan mengikut keluasan rumah yang telah diukur oleh pihak berwajib. Begitu juga tanah kebun mereka yang akan dikira mengikut keluasan per segi. Mereka kini mula untuk menerima hakikat yang bahawasanya mereka memerlukan pembangunan yang pesat bagi meneruskan kehidupan yang semakin mencabar ini.

Sebenarnya terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi oleh penduduk kampung dengan adanya pembangunan seperti ini. Antaranya, generasi muda kampung ini akan terdedah dengan situasi pekerjaan yang meluas. Pihak perancangan bandar telah menjanjikan keutamaan akan diberikan kepada anak kampung iu sendiri. Peluang yang diberikan ini haruslah digunakan dengan sebaik mungkin kerana pada masa kini, amat sukar untuk mencari pekerjaan. Remaja juga tidak boleh terlampau memilih pekerjaan kerana saingan pekerjaan pada masa kini amat tinggi.

Pada masa yang sama, remaja juga tidak boleh meletakkan harga yang terlampau tinggi sebagai syarat penerimaan kerja kerana sesetengah remaja tidak mempunyai pengalaman dan hanya mengharapkan sijil semata-mata. Perlu diingatkan bahawa pengalaman itu adalah lebih diutamakan oleh para majikan. Oleh itu, sebahagian remaja yang masih baru untuk menimba pengalaman bekerja hendaklah lebih mesra dan terbuka diatas apa yang diminta oleh pihak majikan agar mendapat pekerjaan.

Pak Leman amat gembira mendengar berita yang disampaikan oleh pihak berwajib itu. Bagi Pak Leman, peluang sebegini bukannya mudah didapati disetiap tempat. Oleh itu, beliau telah menasihati anak muda kampung itu untuk lebih rajin dan berusaha keras kerana rezekitidak datang bergolek. Usaha yang gigih akan membuahkan hasil yang cemerlang.

Pak Leman turut percaya rezeki Allah itu ada dimana-mana dan setiap apa yang sedang berlaku terhadap seluruh warga kampung ini merupakan satu rancangan Allah yang sangat baik. Pak Man turut mengatakan ke seluruh warga kampung “Pembangunan yang akan dilaksanakan ini adalah rancangan Allah yang telah dirancang buat kampung kita, jadi kita perlulah redha dan sentiasa berfikiran positif terhadap setiap apa yang berlaku sekarang ini”. Penduduk kampung kini semakin positif dan mula belajar menerima hakikat bahawa mereka perlu menerima perubahan sekiranya mahukan kehidupan yang lebih baik.

Pada saat ini penduduk kampung mula untuk menerima sedikit demi sedikit pembaharuan yang sedang dilaksanakan. Mereka juga sibuk mengemas barang-barang rumah untuk berpindah kerumah baharu. Perasaan sedih itu sememangnya dirasai oleh setiap penghuni Kampung Megah itu. Perasaan sedih yang terlampau itu menyebabkan beberapa warga kampung itu dikejarkan ke hospital untuk mendapatkana rawatan.

Rumah yang telah disediakan merupakan rumah taman. Meskipun rumah taman itu cantik, tetapi mereka perlu berkongsi laman rumah. Jika rumah dikampung, mereka mempunyai laman rumah yang amat besar yang membolehkan mereka melakukan pelbagai aktiviti dipetang hari. Tetapi mereka perlu menerima hakikat ini. Pembangunan memerlukan pengorbanan. Sedikit demi sedikit pembangunan dilaksanakan dan menyebabkan separuh daripada penduduk kampung telah berpindah ke rumah baharu mereka. Bagi mereka, rumah yang disediakan itu sememangnya lebih cantik dan moden. Mereka agak berpuas hati dengan keadaan rumah yang diberi. Bayarannya juga berbaloi dengan apa yang mereka miliki.

Pelbagai kemudahan yang mereka terima. Kedai juga semakin banyak dan pelbagai jualan dijual berdekatan dengan rumah mereka. Proses perpindahan itu berlaku mengikut peringkat, Pak Leman belum lagi berpindah kerana rumahnya merupakan panggilan yang ketiga iaitu panggilan perpindahan yang terakhir.
Perasaan yang berat menemani langkah perpindahan Pak Leman sekeluarga. Airmata jatuh menandakan betapa pentingnya kenangan rumah itu buat mereka sekeluarga. Namun, hakikat ini harus diterima dengan redha. Pak Leman meminjam lori kawannya yang bekerja dengannya dahulu untuk mengangkut perkakas rumahnya yang sememangnya banyak itu. Ada juga separuh daripada barang itu dibuang sahaja kerana sudah tidak mahu digunakan dan tidak boleh berfungsi dengan baik.

Proses perpindahan itu berlaku dalam tempoh seminggu, bagi Pak Leman proses perpindahan ini merupakan proses yang amat rumit dan memenatkan. Namun, Pak Leman bernasib baik mempunyai anak yang baik dan prihatin kerana anaknya banyak membantu semasa proses perpindahan. Anaknya juga risau membiarkan ibu dan ayah mereka mengangkat barang yang berat memandangkan mereka sudah berumur. Sikap yang baik ini haruslah dijadikan contoh kepada anak muda masa kini.

Setelah selesai mengemas rumah baru, Pak Leman kini merindui kebunnya yang lama tidak dilawati itu kerana sibuk menguruskan proses perpindahan rumah baharunya itu. Pak Leman mengajak Mak Timah menjenguk kebunnya. Mereka sekeluarga pergi menziarahi kebunnya, Mak Timah dan anak perempuannya subuh-subuh lagi telah bangun untuk menyediakan sarapan dan makanan tengahari untuk dibawa bersama kekebun mereka. Tepat jam 10 pagi mereka bertolak menaiki kereta Arif. Perjalanan dari rumah mereka ke kebunnya memakan masa sebanyak 20 minit sahaja.

Setelah sampai ke destinasi yang ingin dituju, mereka sekeluarga dengan gembiranya menuruni kereta dan menuju ke pondok yang telah dibuat oleh Pak Leman. Pondok itu sudah lama dibuat oleh Pak Leman menggunakan kayu yang ada dikebunnya sahaja. Saiznya agak besar dan selesa untuk memuatkan mereka sekeluarga. Mereka dengan gembiranya menikmati makanan yang telah dibekalkan iaitu ubi rebus berserta samba ikan bilis dan nasi ditemani ayam masak kari dan sayur kangkung goreng. Juadah yang sememangnya membuka selera siapa sahaja yang melihatnya itu dinikmati sehingga habis oleh mereka.

Masa seperti ini bukannya selalu ada buat mereka kerana masing-masing sibuk dengan pekerjaan yang mereka ceburi. Oleh itu, masa yang ada ini diluangkan sebaiknya oleh mereka sekeluarga. Gelak-tawa mereka menghilangkan rasa sunyi penghuni hutan yang berada disitu. Burung-burung juga berkicauan dengan diselangi gelak-tawa mereka sekeluarga. Kebun Pak Leman ini besar dan bukan setakat mempunyai buah-buahan, namun dibelakangnya lagi ada satu kawasan hutan yang dipenuhi dengan pokok-pokok yang besar dan sihat. Pak Leman berhasrat untuk menjenguk kebunnya yang belakang kerana sudah lama dia memebiarkan kebunnya yang satu itu.

Terdapat kesan tayar lori dijalan yang telah ditambak oleh Pak Leman. Rasa curiga mula menghantui jiwa Pak Leman sekeluarga. Mustahil ada orang yang sanggup memasuki kebunnya yang hutan itu tanpa sebab. “Takkan lah orang tu sesat kot”, ujar Pak Leman dengan nada curiga. Anak-anaknya dan Mak Timah turut merasakan sesuatu yang tidak kena dengan situasi ini. Selalunya orang akan masuk sehingga kebun buah-buahan dibahagian hadapan sahaja untuk membeli atau mengambil buah, tidak pula sampai kebelakang kebunnya itu. Pak Leman Cuma mengingat kembali jika beliau ada mengupah orang membersihkan kebunnya itu. Tetapi Mak Timah berkata “Tidak pula awak bagitahu saya yang awak ada bayar orang bersihkan kebun kita. Mustahil juga ni”.

Tanpa berlengah lagi Pak Leman dan anak lelakinya Arif dan Farid pergi ke kebun belakang dengan pantas. Mak Timah dan anak-anak perempuannya hanya tunggu dipondok dengan rasa ingin tahu. Mak Timah, Mawar dan Rima pergi memetik buah rambutan yang sudah merah untuk dibawa pulang ke rumah. Setelah hampir 30 minit meredah hutan dibelakang, akhirnya Pak Leman dan anak-anak lelakinya keluar dengan reaksi yang kurang menyenangkan. Mereka meneguk air yang disediakan oleh Mawar kerana kepenatan. Pak Leman mengajak semua keluarganya pulang dahulukerana hari sudah petang dan mulai panas. “Balik nanti ayah cerita, sekarang ni kita kemas-kemas untuk pulang dahulu.”

Sampai sahaja dirumah mereka mandi dahulu untuk membersihkan diri sebelum mendirikan solat fardhu Zuhur. Setelah selesai solat, mereka berkumpul dan Rima menghidangkan air sirap sejuk beserta rambutan yang mereka petik di kebun tadi. Pak Leman membuka cerita dengan menceritakan bahawa kelihatan hutan dikebunnya itu telahsemakin berkurang. Farid menggambarkan lagi perbezaan hutan itu dahulu dan sekarang. “Dulu hutan belakang tu taklah botak sangat macam itu, tapi sekarang ni makin pelik sebab pokok-pokok kat situ makin berkurang dan nampak macam ada orang tebang”.

Mereka risau sekiranya kebun mereka diceroboh oleh orang luar. Memandangkan mereka sudah tidak lagi dapat menjenguk kebun itu setiap hari, maka semakin berani pihak lain untuk mengambil kesempatan tersebut. Sebelum berpindah Pak Leman akan menjenguk kebunnya hampir setiap hari kerana pernah suatu ketika dahulu kebunnya diceroboh oleh perompak yang mencuri buah-buahan. Namun kini berbeza pula, kebunnya yang tiada hasil itu pula yang diceroboh oleh orang kerana mahukan pokok dan tanah disitu. Pak Leman mencurigai siapa yang cuba menceroboh kebunnya itu kerana orang yang mempunyai kenderaan yang besar seperti jentolak sahaja yang boleh melakukan kerja seperti itu memandangkan keadaan laluan kekebunnya itu agak tidak sesuai untuk kenderaan biasa seperti kereta. Setidaknya kereta seperti Hilux masih boleh melalui kawasan itu. Kawasan hadapan kebunnya sahaja yang sesuai bagi kenderaan biasa seperti motor dan kereta untuk melaluinya.
Pada minggu ini hujan lebat mencurah-curah menyebabkan banjir dikawasan belakang kebun Pak Leman. Sebelum ini kebun itu tidak pernah dilanda banjir walaupun hujan lebat seperti itu. Pak Leman terkejut apabila melihat pokok-pokok dikebunnya semakin berkurang sehingga menampakkan kawasan lapang di kawasan yang berpokok sebelum ini. Pada satu malam, Pak Leman, Arif dan Farid mengambil keputusan untuk tidur dikebunnya. Mak Timah tidak bersetuju pada mulanya kerana bimbang dengan keadaan yang merbahaya seperti binatang buas dan juga perompak.

Namun setelah mereka memujuk dan meyakinkan Mak Timah akhirnya beliau membenarkan mereka untuk bermalam dikebunnya itu. Segala bekal dan persiapan telah disediakan oleh Mak Timah dan Rima memandangkan Mawar telah pulang ke Kuala Lumpur untuk bekerja. Pak Leman dan anak lelakinya itu tidur dipondok dimana tempat mereka bersantai sebelum ini. Pak Leman dan anaknya berbual-bual mengenai pelbagai perkara. Tepat jam 12 malam kelihatan ada satu lori besar memasuki kawasan kebunnya itu. Lampu lori yang memancar itu menyuluh terang segenap kebunnya namun Pak Leman dan anaknya sempat untuk menyorok disebalik pokok-pokok yang ada.

Lori itu seterusnya memasuki kawasan belakang kebunnya. Sejurus itu satu kenderaan lain memasuki kebunnya. Jentolak yang besar itu melalui kawasan kebun Pak Leman seolah-olah sudah biasa melalui kebunnya itu. Pak Leman dan anaknya bergerak perlahan mendekati kawasan tempat kenderaan itu berhenti. Tidak lama kemudian jentolak itu terus menolak beberapa batang pokok besar dan memasukkan batang pokok itu kedalam lori yang agak panjang dan besar itu. Aktiviti yang dijalankan itu amat pelik kerana mereka menebang dan mengambil batang pokok itu seperti batang pokok itu boleh digunakan untuk dilakukan sesuatu. Mereka hanya memerhatikan sahaja tindak tanduk penceroboh itu dan berusaha untuk mengenalpasti sekiranya mereka mengenali penceroboh itu.

Arif mengambil gambar secara senyap-senyap sebagai bukti yang akan dibawa ke pihak berkuasa mengenai aktiviti yang haram ini iaitu pencerobohan tanah. Dalam jam 1 pagi semua aktiviti tidak bermoral itu selesai dan mereka meninggalkan kebun Pak Leman. Malangnya Pak Leman tidak dapat mengecam wajah mereka yang menceroboh kebunnya itu. Setelah semua sudah selesai Arif mengajak ayah dan adiknya untuk pulang kerana matanya masih segar dan mampu memandu dengan baik. Mereka berhenti minum di gerai mamak berdekatan dan berbual-bual mengenai penceroboh dengan membelek-belek gambar yang telah diambil oleh Arif.

Mereka bertiga pulang kerumah selepas subuh kerana mereka risau menggangu Mak Timah dan Rima yang sedang tidur dirumah pada awal pagi. Mereka tinggal di masjid dan menunaikan solat subuh berjemaah disana sebelum pulang kerumah. Tepat jam 6 subuh Mak Timah sedang memasak sarapan didapur dibantu oleh Rima. Kedengaran bunyi kereta memasuki laman rumahnya. Pak Leman dan anaknya sudah pulang. Mereka terus masuk kerumah dan mandi terlebih dahulu. Setelah selesai membersihkan diri, Mak Timah mengajak semua untuk bersarapan. Mak Timah memasak nasi lemak bersama telur mata danayam goreng berempah. Sambal ikan bilis Mak Timah memang menjadi kegilaan ramai orang.

Ramai penduduk kampung memberi cadangan untuk Mak Timah membuka gerai menjual nasi lemak, namun Mak Timah tidak begitu berminat untuk berniaga secara harian. Mak Timah hanya mengambil tempahan sseperti kenduri kecil-kecilan sahaja kerana tidak cukup orang untuk membantu. Rima bekerja begitu juga dengan anaknya yang lain, jadi Mak Timah hanya mengambil tempahan secara kecil-kecilan sahaja. Ramai yang memuji nasi lemak Mak Timah antara yang tersedap yang pernah mereka rasa.

Semasa bersarapan Pak Leman menceritakan apa yang terjadi pada malam tadi yang telah mereka lihat sendiri kepada Mak Timah dan Rima. Situasi itu amat menakutkan Mak Timah kerana beliau risau jika penceroboh itu akan bertindak lebih dari itu. Pak Leman ditemani Farid telah pergi ke balai polis untuk membuat laporan lebih lanjut. Segala bukti yang ada pada telefon Arif telah dihantar ke telefon bimbit Farid melalui WhatsApp. Pihak polis mengenal pasti kawasan tersebut sememangnya tiada dalam senarai kawasan yang diperlukan untuk pembangunan. Mereka akan membuat siasatan lebih lanjut pada malam ini. Dimana pihak polis akan berada dikebun Pak Leman untuk menangkap sendiri penceroboh itu.

Pihak polis amat berterima kasih kepada Pak Leman kerana membuat laporan kepada saluran yang betul dan tidak mengambil tindakan sendiri. Hal ini kerana terdapat ramai orang yang akan mengambil tindakan sendiri dahulu sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa. Perkara ini akan menyusahkan banyak pihak dimana kes ini akan menjadi lebih rumit dan sukar untuk diselesaikan. Walau bagaimanapun, tindakan bijak telah diambil oleh Pak Leman sekeluarga.

Mak Timah hanya mampu menceritakan apa yang terjadi kepada Mawar didalam telefon sahaja memandang Mawar bekerja dibandar. Mawar lebih tenang apabila mendapat tahu bahawa keluarganya telah melaporkan perkara ini kepadapihak polis. “Baguslah tu mak, biar pihak polis je yang selesaikan kes ni, diaorang lebih mahir”, jelas Mawar kepada ibunya. Mak Timah hanya mengiakan sahaja apa yang dikatakan oleh anaknya itu.

“Malam ini polis akan jaga kebun kita sebab nak tangkap penceroboh tu, harap dapat lah tangkap mereka yang tidak bertanggungjawab tu”, jelas Pak Leman setelah selasai makan malam. Pihak polis berjanji akan menelefon Pak Leman setelah semua urusan pada malam itu selesai.

Pihak polis telah mengepung semua kawasan kebun Pak Leman dan bebrsedia untuk menangkap penceroboh tersebut. Dalam jam 1 pagi terdapat dua kenderaan berat iaitu jentolak dan lori memasuki kawasan kebun Pak Leman diiringi cahaya lampu yang amat terang benderang. Namun mereka masih tidak dapat menghidu keberadaan pihak polis disitu.

Kegiatan menebang pokok dan mengambil batangnya dijalankan seperti biasa.Pihak polis hanya memerhatikan sahaja tindak tanduk mereka. Setelah sampai masanya, pihak polis membunyikan seren dan memberiarahan kepada mereka untuk menghentikan kerja itu dan menyerahkan diri. Terdapat lebih kurang enam orang pekerja disitu. Ada juga yang cuba untuk melarikan diri namun sempat dikejar dan ditangkap oleh pihak polis.
Mereka dibawa ke balai polis dan ditahan didalam lokap untuk mendapatkan siasatan lanjut. Pihak polis memberitahu Pak Leman yang keluarganya boleh datang pada keesokan pagi kerana telah terlalu lewat iaitu sudah jam tiga pagi. Keesokan paginya, Pak Leman dan keluarganya pergi ke balai polis untuk mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut daripada pihak polis. Berdasarkan siasatan yang telah dibuat, mereka sememangnya dibayar oleh pihak lain untuk menjalankan kerja tersebut. Tujuan aktiviti ini dijalankan adalah untuk mengambil pokok dan tanah dikebun tersebut. Tanah itu diperlukan untuk membuat jalan raya, memandangkan kebun Pak Leman mempunyai tanah yang banyak oleh itu mereka perlu menebang dahulu pokok tersebut sebelum mengambil tanahnya. Mereka membuang pokok tersebut ke tempat lain dengan harapan tuan tanah itu tidak dapat mengesan perbuatan mereka itu. Tetapi malangnya Pak Leman lebih bijak berbanding mereka. Pak Leman telah berjumpa dengan majikan pekerja tersebut dan telah menegur perbuatan yang tidak sepatutnya itu. Pihak itu mengaku salah dan meminta maaf kepada Pak Leman serta membayar duit ganti rugi kepada Pak Leman. Projek jalan raya yang dibuat itu diberhentikan seketika kerana pihak polis masih menyiasat proses membuat jalan itu menggunakan sumber dari mana.

Bagi Pak Leman, ianya merupakan satu pengajaran kepadanya sekeluarga begitu juga dengan orang kampung yang lain untuk lebih berhati-hati dan mengambil keputusan yang bijak. Pak Leman amat berterima kasih kepada pihak polis yang cekap membuat kerja dan sudi membantu untuk menangkap penceroboh itu walaupun sudah lewat pagi.

Bagi mereka itu merupakan satu tanggungjawab yang wajib ditunaikan iaitu membanteras jenayah dan menjaga keselamatan warga kampung. Kini, kerja pembinaan dikawal rapi bagi memastikan tiada kes-kes yang tidak diingini terjadi lagi. Pak Leman agak gembira melihat pembangunan yang begitu membangun dihadapan matanya sendiri. Namun begitu, terselit rasa sedih kerana banyak kawasan yang perlu dimusnahkan menyebabkan kekurangan kawasan perhutanan. Haiwan juga kehilangan tempat tinggal kerana habitatnya telah terancam. Pada waktu dahulu banyak ayam, itik dan monyet yang berkeliaran dikampung-kampung, tetapi kini tiada lagi bunyi haiwan-haiwan tersebut.

Kini hanya bunyi jentera-jentera berat yang sedang membuat bangunan sahaja yang menggantikan bunyi alam yang indah itu. Pak Leman kini mengerti perasaan warga kota yang perlu menerima pembangunan ini dengan mengorbankan alam semulajadi yang serba indah ini untuk dibuat jalan raya, bangunan dan kawasan perumahan. Bagi mereka kini terdapat beberapa perubahan yang dapat dirasai. Hujan mulai sukar untuk turun dan kawasan itu semakin panas kerana banyak hutan telah ditebang.
Hakisan tanah juga mudah untuk berlaku kerana tiada akar pokok yang mampu mencengkam tanah. Sungai yang ada juga menjadi semakin cetek kerana banyak tanah yang runtuh akan masuk ke dalam kawasan sungai. Kesan ini terjadi akibat daripada kemusnahan alam yang semakin hari semakin bertambah.

Pak Leman bercadang untuk membuat kebunnya itu kawasan tempat orang ramai boleh membuat lawatan. Pak Leman yakin pada masa kini sudah tidak banyak kawasan kebun yang dipenuhi buah-buahan yang boleh dinikmati oleh generasi muda. Pak Leman mencadangkan ideanya kepada anak-anaknya dan Mak Timah. Anak-anaknya bersetuju malah mengatakan idea bapanya itu sangat bijak dan boleh mendatangkan keuntungan kepada ayahnya. Walaupun keuntungan bukanlah sebab utama Pak Leman mencetuskan idea sedemikian namun beliau berhak mendapat wang daripada hasil yang telah ditanam olehnya sendiri.

Mawar menemani ayahnya menyelesaikan urusan untuk menjadikan kebun buah-buahan ayahnya sebagai pusat lawatan bagi pelajar-pelajar sekolah begitu juga untuk orang awam. Farid juga menambah ideanya dengan membersihkan kawasan belakang kebun ayahnya itu untuk menambah lagi tanaman yang sedia ada untuk menarik ramai lagi pelancong yang berminat untuk mengetahui cara-cara penanaman pokok-pokok itu. Setelah selesai urusan dipejabat,Pak Leman sekeluarga mula untuk membersihkan kawasan kebunnya agar kelihatan lebih menarik.

Banyak pembaharuan yang dibuat bagi menarik perhatian ramai orang. Bagi penduduk kampung, idea Pak Leman ini amat bagus memandangkan kebun buah-buahan beliau tidak diambil, maka bolehlah beliau memanfaatkan keisimewaan yang ada itu. Musim buah-buahan juga tidak selalu datang, oleh itu sudah semestinya ramai pengunjung akan datang ke kebun itu untuk mendapatkan buah-buahan yang segar dan boleh dipetik dari pokok.
Setiap masa penambahbaikan akan dilakukan oleh anak-anak Pak Leman. Kini, kebun Pak Leman bukan sahaja dijadikan tempat lawatan untuk buah-buahan dan boleh membelinya, malah terdapat juga penjualan anak benih pokok buah-buahan yang kini menjadi daya tarikan buat pengunjung yang hadir. Benih yang subur ini menjadi kegilaan ramai pengunjung, terutamanya yang datang dari kawasan bandar. Mereka amat gembira apabila dapat berkunjung ke kebun Pak Leman kerana layanan yang mesra diberikan oleh Mak Timah yang sememangnya mudah mesra dengan orang baru.

Kini, Pak Leman sekeluarga dikenali dengan bisnes buah-buahan segarnya disetiap pelosok bandar. Setiap tahun pasti ada saja pengunjung yang akan memeriahkan suasana di kebunnya. Rasa bahagia yang tidak terhingga apabila beliau dapat memberi ramai orang peluang untuk merasai suasana yang kini semakin pupus. Beliau juga berharap dengan cara ini beliau dapat menebus segala kesilapannya pada masa lalu yang turut sama memusnahkan alam semesta ini. Sekarang ini Pak Leman kian bangkit dan kembali sama-sama membantu melestarikan kehijauan alam ini.

Kini aku semakin dewasa dan mengerti pengorbanan ciptaan yang dinamakan alam. Terima kasih atas segala pengorbananmu. Maafkan aku kerana tidak dapat mempertahankanmu. Sekian sahaja, Mawar.


SITI AISHAH ROSTAM
AMIR HAMZAH SHARAAI

dibaca
881
IMEJ RAWAK
ARTIKEL
Sustainable Living
Jalan yang dipilih
Bangkit
Teknik Lakonan Dalam Penghayatan Konsep Penilaian Kitar Hayat
BLOG