A
PROFILE
Laman Web Staf UPM
CIK AISHAH BINTI HISAMUDDIN
PEGAWAI EKSEKUTIF 4
JABATAN CANSELERI
aishah
BM
EN

GrafinTok Tingkat Prestasi Enjin Kereta

- 07 Mar 2023
Oleh: Aishah Hisamuddin

SERDANG: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan minyak pelincir aditif menggunakan grafin, yang berupaya meningkatkan kecekapan dan kuasa enjin, mengurangkan pelepasan karbon dan menjimatkan bahan api.

Grafin, elemen utama yang digunakan dalam membangunkan inovasi itu, memberi perlindungan menyeluruh pada omboh kereta dengan mengurangkan geseran pada omboh kerana sifatnya yang berkeupayaan tinggi melindungi permukaan logam dan mengurangkan penggeseran.

Justeru, inovasi itu yang diberi nama GrafinTok™ memberi pengguna kebaikan daripada segi penjimatan kos dan bahan api, sebagai minyak pelincir aditif yang memanjangkan hayat minyak enjin dan menyejukkan enjin kenderaaan.

Ketua pasukan penyelidikan itu, Prof. Dr. Janet Lim Hong Ngee berkata, GrafinTok™ sesuai untuk semua jenis kereta, dan digunakan dengan hanya perlu mencampurkan GrafinTok™ ke dalam minyak enjin.



Katanya, ia meningkatkan kecekapan enjin dengan mengurangkan pelepasan hidrokarbon (HC), karbon monoksida (CO) dan nitrogen monoksida (NO) sebanyak 50 peratus, menghidupkan semula enjin lembap, serta mengurangkan bunyi dan getaran sebanyak 10 peratus untuk pemanduan yang lebih lancar dan senyap.

Menurutnya, bagi kereta dengan kapasiti minyak enjin 5 L ke bawah, hanya satu botol GrafinTok™ mengandungi 120 ml perlu dicampur ke dalam minyak enjin, manakala kereta dengan kapasiti minyak enjin 5 L ke atas pula memerlukan dua botol GrafinTok™.

Beliau berkata, inovasi itu direka khusus untuk menangani isu penggeseran yang tinggi pada permukaan logam (omboh), menghapuskan masalah logistik dan kos, sekali gus menjadikannya sebagai minyak enjin aditif yang berbaloi dan mesra pengguna kerana dikendalikan secara 'Do-It-Yourself'.

Katanya, GrafinTok™ bertindak melindungi permukaan antara besi, bagi mengurangkan penggeseran, seterusnya meningkatkan kuasa enjin kereta.

“Geseran yang kurang akan menjadikan enjin kereta lebih senyap dan mengurangkan getaran, seterusnya menjadikan pemanduan lebih lancar,” katanya.

Prof. Dr. Janet Lim dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains UPM berkata, GrafinTok™ fokus untuk menjadi ‘ciptaan hijau’ yang menjimatkan perbelanjaan pengguna dengan mengurangkan keperluan menukar minyak enjin secara kerap kerana ia mengurangkan sisa minyak kotor.

Katanya, GrafinTok™ adalah aditif bagi enjin untuk mengatasi isu biasa di kalangan pengguna dan industri automotif iaitu harga minyak enjin yang mahal, dan boleh digunakan oleh pelbagai jenis kereta.

Beliau mendapat inspirasi GrafinTokTM daripada pengalaman ayahnya sebagai pemandu teksi yang selalu merungut tentang masalah kereta bising, getaran kuat dan lembap.

Inovasi itu memenangi pingat emas pada International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) Malaysia 2021. Ia telah dipatenkan dan kini dikomersialkan melalui syarikat start-up GO Advanced Solutions Sdn Bhd di bawah Putra Science Park (PSP), UPM.

Ia juga pemenang utama ‘Versatile Graphene’ pada Anugerah Usahawan Penyelidik sempena Tahun Pengkomersilan Malaysia 2018 anjuran Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

dibaca
141
ARTIKEL
ENGLISH THEATRE PROJECT
A visit to an orphanage home in Dengkil, Selangor.
Stage Manager English Theatre
Program Director for Mahasiswa Prihatin
Selangor International Business Summit 2021
BLOG