A
PROFILE
UPM's Staff Profile
DR. AMIR HAMZAH BIN SHARAAI
PROFESOR MADYA
FAKULTI PERHUTANAN DAN ALAM SEKITAR
amirsharaai
BM
EN

Teknik Lakonan Dalam Penghayatan Konsep Penilaian Kitar Hayat

- 22 Sep 2020
Menyampaikan ilmu kepada pelajar merupakan tanggung jawab utama sebagai seorang pendidik. Ilmu yang hendak disampaikan tersebut meskipun sesukar manapun wajib dapat difahami oleh pelajar sebaik mungkin. Bukanlah alasan kepada para pendidik mencari helah bela diri apabila pelajar tidak faham akan apa yang telah disampaikan. Sebaliknya para pendidik harus cakna dan peka dengan keperluan dan naluri pelajar. Pendidik antara lain perlu mewujudkan iklim yang kondusif dan persekitaran psikososial yang sihat dalam bilik darjah. Pendidik sememang sudah pakar dalam bidang ilmunya namun cabaran utama pendidik adalah bagaimana mewujudkan persekitaran psikososial seperti dapat mewujudkan suasana yang merangsang pembelajaran dan menggalakkan pembelajaran koperatif dalam kalangan pelajar di bilik darjah. Jika perkara ini diabaikan pelajar akan cenderung untuk melahirkan rasa tidak puas hati mereka dalam diam-diam bagi menunjukkan protes mereka seperti menunjukkan rasa kurang minat, mengantuk, selalu datang lewat ke kelas dan banyak lagi tingkah laku negatif yang mereka tunjukkan. Menjadi pendidik perlu bersikap proaktif dalam mencari idea baru dan mengemaskini pendekatan yang digunakan bagi memenuhi tuntutan persekitaran psikososial pelajar-pelajar ini.

Fasa hayat sesuatu produk bermula dengan fasa mengekstrak bahan hingga fasa produk dilupuskan
Penilaian kitar hayat atau dalam Bahasa Inggerisnya Life Cycle Assessment (LCA) adalah salah satu alat pengukuran dalam bidang pengurusan alam sekitar. Penilaian ini dibuat kepada sebarang produk bagi mengenalpasti potensi impak alam sekitar yang terhasil dari pelepasan dan sisa produk ini. Perlu juga diketahui bahawa sesuatu produk itu terdiri daripada beberapa fasa dalam kitar hayatnya. Sesuatu produk memerlukan bahan-bahan mentah dan dari bahan mentah inilah akan diproses menjadi produk. Selepas terhasil produk, produk akan dipasarkan, dibeli dan digunakan oleh pengguna produk. Sehingga suatu ketika, produk ini tidak lagi digunakan lalu dibuang. Penilaian dalam setiap fasa tersebut adalah dengan mengenalpasti pelepasan dan sisa yang terhasil bagi diterjemah kepada potensi impak alam sekitar. Penilaian menyeluruh dari mula bahan mentah diperolehi sehingga produk dilupuskan digelar sebagai penilaian dari buaian ke pusara.

Konsep penilaian kitar hayat ini nampak seperti mudah, tetapi sebenarnya melibatkan sistem yang agak kompleks. Sistem dalam kitar hayat sesuatu produk ini juga berkait dengan aspek sosial, ekonomi dan persekitaran manusia. Bagi memastikan idea tentang kitar hayat produk yang agak abstrak ini kepada pelajar, pendidik perlu mewujudkan suasana mirip yang realiti di mana hubungan mutualisme antara manusia dengan produk dapat diterjemahkan dengan pendekatan pedagogi yang sesuai. Antara pendekatan yang boleh digunakan adalah dengan mengadakan sesi lakonan drama di dalam bilik darjah. Seperti yang kita maklum, drama adalah satu medium bagi menggambarkan suasana kehidupan yang di dalamnya terdapat watak-watak tertentu dan dilakonkan dengan kehadiran emosi serta penghayatan terhadap mesej drama tersebut. Di dalam bilik darjah, pendidik tidak perlu mencari pelajar yang benar-benar berbakat dalam lakonan tetapi menggunakan peluang ini bagi mengasah potensi pelajar dalam aspek seni drama ini.

Lakonan bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan diri tetapi mengajar nilai kerjasama kumpulan
Objektif Pengajaran dan Pembelajaran
Kaedah pengajaran kuliah biasanya akan mendatangkan kebosanan kepada pelajar. Tambahan pula jangka masa kuliah yang agak panjang dan konsep yang disampaikan agak sukar dan abstrak menyebabkan pelajar hilang tumpuan kepada kuliah yang disampaikan oleh pensyarah. Hal ini menyebabkan pelajar tidak berminat dan kadang-kala tertidur di dalam kelas.

Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran
Fasa-fasa dalam kitar hayat sesuatu produk umumnya terbahagi beberapa fasa iaitu fasa mendapatkan bahan mentah, pengilangan, pengedaran, penggunaan dan akhir sekali pelupusan. Fasa-fasa ini nampak ringkas tetapi ia sebenarnya melibatkan sistem yang agak kompleks yang melibatkan interaksi manusia dan alam sekitar. Bagi menyampaikan konsep ini satu pendekatan yang sesuai perlu difikirkan agar pendekatan yang akan digunapakai dalam bilik darjah bukan sahaja dapat menyampaikan konsep tetapi dapat mengekalkan tumpuan serta meningkatkan minat pelajar.

Kaedah lakonan dalam bilik darjah merupakan salah satu kaedah yang boleh dibuat bagi mencapai matlamat tersebut. Langkah yang perlu dilakukan untuk menjalankan kaedah lakonan ini adalah seperti berikut:

1. Penyediaan Skrip Drama
2. Agihan Kumpulan, Edaran Skrip Drama dan Penghayatan Cerita
3. Sesi Perbincangan, Persiapan Lakonan dan Latihan Lakonan
4. Sesi lakonan dan Rakaman Video
5. Sesi Refleksi

1. Penyediaan Skrip Drama
Terdapat dua skrip drama digunakan dalam menyampaikan konsep penilaian kitar hayat ini. Skrip-skrip drama ini adalah berkisar tentang bagaimana penilaian kitar hayat dijalankan. Terdapat beberapa watak utama yang terdapat dalam skrip drama ini. Nilai yang cuba disampaikan dalam drama ini adalah tentang tanggung jawab setiap individu dalam mengetahui bagaimana kesan alam sekitar berpunca dari pelepasan dan sisa yang dihasilkan dari sesuatu produk. Penyiasatan yang terperinci bagi mengenalpasti pelepasan dan sisa dari produk-produk alternatif membantu dalam membuat keputusan yang betul dalam pemilihan produk yang lebih mesra alam. Kajian literatur berkaitan dengan pelepasan dan sisa yang terhasil dari produk-produk amat diperlukan bagi memastikan kualiti skrip drama yang dihasilkan bukan sahaja logik tetapi saintifik.

2. Agihan kumpulan, Edaran Skrip Drama dan Penghayatan Cerita
Kelas ini dijalankan pada kursus EMG5107 Pemikiran Kitar Hayat iaitu kursus yang ditawarkan pada pelajar-pelajar master alam sekitar (MASPUTRA). Pelajar diagihkan kepada beberapa kumpulan kecil (5 hingga 6 orang pelajar dalam satu kumpulan) yang menggabungkan pelajar tempatan dan pelajar antara bangsa dalam satu kumpulan. Sebanyak 6 kumpulan kecil diberikan skrip yang telah disediakan. Pelajar diberi masa untuk membaca dan memahami skrip yang diberikan. Mereka juga perlu memahami setiap watak dalam drama tersebut.

Pelajar dibenarkan meminda skrip drama berdasarkan kreativiti mereka agar mereka selesa watak yang dibawa dan penyampaian bahasa mengikut gaya tersendiri.

Perbincangan bersama pelajar
3. Sesi Perbincangan, Persiapan Lakonan dan Latihan Lakonan
Setelah memahami jalan cerita dan juga watak-watak dalam skrip yang diberikan, pelajar akan membuat perbincangan bagi memperhalusi perjalanan dalam lakonan. Mereka juga perlu memutuskan persiapan rakaman dan bahan bantu yang perlu digunakan dalam drama tersebut. Pensyarah akan bertindak sebagai fasilitator akan menyelia perbincangan pelajar.

Selepas perbincangan dibuat pelajar akan meneruskan dengan latihan lakonan.

Pelajar berbincang dalam kumpulan mereka
4. Sesi Lakonan dan Rakaman
Setelah berpuas hati dengan latihan yang dibuat, pelajar akan pergi ke lokasi yang telah ditetapkan untuk merakam lakonan mereka. Video rakaman akan diedit untuk menghasilkan video yang lebih baik.

5. Sesi Refleksi
Satu sesi tayangan video drama yang dihasilkan oleh pelajar diadakan di kelas pada sesi kuliah pada minggu seterusnya. Selepas tayangan tersebut satu sesi refleksi telah diadakan untuk mendapat pandangan pelajar tentang lakonan drama dan video yang telah dihasilkan.

sesi refleksi
Output Pengajaran dan Pembelajaran
Bagi melihat keberkesan dan pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan, kaedah kualitatif pemerhatian tingkah laku telah dijalankan sepanjang aktiviti ini dijalankan. Pemerhatian dilakukan semasa perbincangan, aktiviti latihan lakonan dan semasa tayangan rakaman video di dalam bilik darjah. Pelajar juga dapat melontarkan pendapat dan rasa hati mereka di dalam sesi refleksi selepas tayangan video dibuat. Pelajar pada keseluruhannya amat terhibur dengan lakonan mereka dan juga lakonan dari kumpulan pelajar yang lain. Mereka berpendapat bahawa mereka sendiri amat kagum dengan kebolehan mereka dan juga rakan-rakan yang lain yang pada asalnya mereka kurang yakin untuk berlakon. Mereka berpuas hati kerana mereka bukan sahaja dapat menjalankan aktiviti yang menyeronokkan tetapi dapat memahami konsep penilaian kitar hayat dengan lebih baik.

Kesimpulan
Mengguna kaedah lakonan dalam bilik darjah mungkin merupakan pilihan terakhir dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran para pendidik. Namun jika kaedah ini digunakan sebaiknya memberikan kepuasan tersendiri kepada pendidik dan pelajar. Pada pihak pensyarah, kekangannya mungkin dalam penyediaan skrip drama yang memerlukan kreativiti menulis dan masa yang panjang untuk menulis skrip drama tersebut. Pada perspektif pelajar pula, cabaran yang mereka hadapi adalah keperluan bakat lakonan bagi menjayakan watak dalam lakonan mereka. Dengan menggunakan lakonan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran berupaya meningkat minat dan kreativiti pelajar, memupuk daya kepimpinan dan semangat kerjasama kumpulan, serta dapat mengelakkan kelesuan dan kebosanan pelajar dalam bilik darjah.

Persekitaran psikososial yang sihat perlu berlaku dalam bilik darjah
Poster Pertandingan Poster Putra InnoCreative (PicTL2020)
read by
2535
RANDOM IMAGE
LATEST ARTICLE
Jalan yang dipilih
Sustainable Living
Teknik Lakonan Dalam Penghayatan Konsep Penilaian Kitar Hayat
LATEST BLOG