
Dr. Rahimah Hamdan merupakan pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), yang mengkhusus dalam bidang Kesusasteraan Melayu Tradisional dan Kajian Budaya Melayu. Bidang kepakaran beliau meliputi kajian sastera tradisional, pemikiran budaya serta warisan intelektual Melayu. Sehingga kini, beliau telah menerbitkan lebih daripada 58 makalah akademik dalam jurnal berindeks (CIJ dan bukan CIJ) yang menelusuri pelbagai aspek kesusasteraan dan budaya Melayu.
Antara sumbangan akademik penting beliau termasuk kajian terhadap autobiografi Melayu awal khususnya karya Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir serta analisis peranan tokoh sejarah dan legenda seperti Hang Tuah dalam pembinaan identiti kolektif dan nilai-nilai budaya masyarakat Melayu. Kajian beliau turut merangkumi pendekatan kritikal terhadap pandangan kolonial terhadap budaya Melayu termasuk simbolisme keris dan naratif dalam sastera tradisional.
Dr. Rahimah aktif terlibat dalam jaringan penyelidikan antarabangsa, dengan profil akademik yang dikemas kini di ORCID, Google Scholar dan ResearchGate. Pada tahun 2024, beliau telah berjaya memperolehi geran penyelidikan antarabangsa daripada The Sumitomo Foundation (Jepun) dengan tajuk "Bridging Cultures Through Heroic Narratives: A Cross-Cultural Exploration of Heroism in Japanese and Malay Historiographical Texts". Kemudian pada tahun 2025, beliau telah terpilih menerima 'travel grant' and pembiayaan yuran persidangan daripada Southeast Asian Studies Regional Exchange Program Foundation (SEASREP).
Selain penglibatan dalam penyelidikan dan penerbitan, beliau turut aktif dalam advokasi kepimpinan wanita dan warisan budaya di peringkat global. Beliau kini memegang peranan sebagai Malaysia Country Chair bagi Culture & Heritage Wing dalam G100, sebuah rangkaian pemimpin wanita antarabangsa yang berprestij. Pada Jun 2025, Dr. Rahimah telah dijemput sebagai penceramah jemputan di Women Economic Forum ASEAN (WEF ASEAN 2025), untuk membincangkan isu budaya dan peranan wanita dalam kepimpinan serantau.
Beliau turut membentangkan kertas kerja bertajuk “Pakai Cara Melayu” dalam program Bicara Seni Budaya sempena acara Rentak Bertandak Antarabangsa Melaka 2025, bersempena pra-pelancaran Hari Pelancongan Sedunia 2025 dan Sambutan Ulang Tahun UNESCO, anjuran Kerajaan Negeri Melaka. Terkini pada Oktober 2025, beliau menerima pengiktirafan antarabangsa, "Women of Excellence in Academe" oleh United Nations Association of the Philippines (UNAP) bertempat di Manila, Filipina.