A
PROFILE
Laman Web Staf UPM
PROF. MADYA DR. MARIATULQABTIAH BINTI ABDUL RAZAK
TIMBALAN DEKAN (JIM&PEMBANGUNAN)
FAKULTI BIOTEKNOLOGI DAN SAINS BIOMOLEKUL
mariatulqabtiah
BM
EN

Merevolusikan vaksin unggas

- 09 Sep 2021
Industri unggas adalah salah satu sektor pertanian yang paling banyak permintaan di seluruh dunia. Di kebanyakan negara, penggunaan daging unggas seperti ayam adalah lebih tinggi daripada daging lembu atau khinzir. Kepesatan industri bagi perladangan unggas dan penghasilan daging, telur dan juga bulunya dipantau dengan teliti oleh pihak berkuasa yang berkaitan, bukan sahaja untuk memastikan bekalan dapat memenuhi permintaan, tetapi juga untuk menghindari potensi ancaman penyakit unggas. Penggunaan antibiotik terapi yang diluluskan oleh FDA seolah-olah berfungsi dengan baik dalam memerangi penyakit unggas yang disebabkan oleh bakteria. Walau bagaimanapun, bagi penyakit unggas yang disebabkan oleh virus, pembendungan adalah lebih rumit atas beberapa faktor; i. Virus boleh beredar tanpa simptom dalam kawanan lalu membolehkan mereka tersebar dengan mudah tanpa diketahui; ii. Virus boleh bertindak sebagai penceroboh utama untuk merosakkan tisu tertentu dan membenarkan jangkitan sekunder oleh agen asing lain, menyebabkan manifestasi penyakit menjadi rumit; iii. Pengawalan penyakit virus melalui vaksin memerlukan sistem kekebalan (imun) tuan rumah yang sihat, termasuk ketiadaan pendedahan kepada antigen, tekanan dan penindasan-imun, yang sukar diketahui tanpa pemeriksaan terdahulu; iv. Cara pengendalian vaksin memerlukan teknik yang tepat oleh pelakunya, pada titik waktu yang khusus; v. Keberkesanan vaksin mungkin bergantung kepada strain virus tertentu yang digunakan untuk menghasilkannya (spesifik kepada strain), lalu membenarkan jangkitan oleh virus yang sama yang telah berubah secara evolusi.

Apakah vaksin unggas?

Sama seperti vaksin manusia, vaksin unggas digunakan untuk haiwan ternakan kelompok burung domestik seperti ayam, itik atau angsa, untuk merangsang interaksi sel dan penghasilan antibodi tuan rumah sebelum serangan sebenar terjadi oleh agen penyebab penyakit seperti virus.

Amalan vaksinasi burung secara konvensional adalah berdasarkan penyahaktifan virus tertentu (vaksin ternyahaktif). Ia masih digunakan di ladang atas faktor kos pengeluaran yang murah dan keberkesanan perlindungan yang telah dibuktikan. Selain daripada memerangi satu penyakit tertentu, vaksin ternyahaktif kadang kala memerlukan suntikan penggalak untuk mencapai tindak balas imun yang kuat. Semasa wabak penyakit juga, sukar untuk membezakan antara haiwan yang telah divaksinasi dengan yang telah dijangkiti disebabkan oleh sifat vaksin ternyahaktif tersebut. Batasan ini kemudian ditangani oleh vaksin unggas generasi baru yang boleh membawa antigen yang diinginkan daripada satu atau lebih penyakit virus atau bakteria. Kemajuan ini memberi tumpuan kepada kejuruteraan genetik vektor atau bahan lain seperti virus hidup rekombinan yang dilemahkan, protein subunit, peptida sintetik, DNA plasmid dan partikel-seperti-virus. Rekaan ini bertindak sebagai alat yang berkuasa untuk melindungi unggas terhadap pelbagai penyakit melalui satu inokulasi. Contohnya, vaksin trivalen virus fowl pox rekombinan terhadap virus encephalomyelitis unggas, virus fowl pox dan Mycoplasma gallisepticum, telah dilesenkan untuk kegunaan komersil.

Walaupun teknologi vaksin sedang direvolusikan, matlamat utama untuk vaksinasi, iaitu mendorong pencegahan secara total dan pembasmian jangkitan virus (imuniti mensterilkan), masih belum ditemui. Berdasarkan dokumen dasar mengenai Penyakit Berjangkit Dalam Ternakan oleh The Royal Society pada tahun 2002, UK, kita dapat menyimpulkan bahawa vaksin yang ideal akan memberikan spektrum perlindungan yang luas terhadap strain virus baru dengan pencegahan lengkap terhadap penumpahan dan transmisi virus, mencetuskan imuniti humoral dan sel yang kuat dan tahan lama dalam satu dos, mengelakkan sebarang kebolehubahan genetik dan ketidakstabilan semasa inokulasi, membolehkan perbezaan secara diagnostik antara haiwan yang dijangkiti dengan yang divaksinasi, dan menawarkan cara pembuatan dan pengeluaran dengan kos yang efektif. Semasa kita fikir bahawa kita tidak jauh daripada membangunkan vaksin universal dengan ciri sebegini, satu kajian baru-baru ini menggunakan gen M2e secara bersama (in tandem) daripada pelbagai jenis strain virus influenza yang berlainan sebagai partikel-seperti-virus, tidak menunjukkan keberkesanan perlindungan terhadap cabaran maut virus influenza unggas. Rekaan vaksin yang sama menggunakan protein membran yang terpelihara M2e, secara bersama, daripada virus influenza A manusia, khinzir dan unggas, dapat memberi perlindungan terhadap virus influenza A manusia dalam model tikus.

Secara konklusif, mekanisma imun terhadap vaksinasi adalah samar, terutama bagi spesis unggas yang mana kajian penyelidikannya adalah lebih terbatas berbanding manusia. Pembangunan idea inovatif yang berterusan untuk penciptaan vaksin unggas pada masa depan adalah penting untuk mengekalkan sumber protein kita daripada unggas.

dibaca
380
ARTIKEL
Revolutionizing poultry vaccines
Merevolusikan vaksin unggas