A
PROFILE
UPM's Staff Profile
CIK NOR AZIZAH BINTI ISMAIL
PEMBANTU TADBIR (PERKERANIAN/OPERASI)
JABATAN CANSELERI
i_norazizah
BM
EN

Inovasi Grafintok Tingkat Prestasi Enjin

- 03 Jan 2022
Oleh: Nor Azizah Ismail
Bhg. Promosi dan Pengkomersilan Inovasi, Putra Science Park

Minyak enjin adalah penting dalam memastikan enjin berfungsi dengan cekap dan berterusan serta kekal beroperasi untuk jangka masa yang panjang. Minyak enjin mempunyai peranan pelincir untuk enjin dan komponen dan selepas tempoh tertentu, ia akan mula memecah, tepu dan ditutup dengan kotoran sehingga membawa kepada masalah enjin yang lain.

Sehubungan itu, satu pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya membangunkan GrafinTok™ yang direka khusus dengan teknologi yang dipatenkan untuk minyak enjin yang sesuai dengan semua jenis kenderaan. GrafinTok™ mempunyai keupayaan untuk menghidupkan semula kereta anda dengan melepaskan kuasa kuda yang tidak aktif, memanjangkan hayat minyak, menyediakan keadaan enjin yang sejuk dan menggalakkan penjimatan bahan api.

Inovasi ini mempunyai keupayaan untuk mengurangkan geseran di omboh dan menyediakan perlindungan bagi logam. Elemen utama yang digunakan untuk membangunkan inovasi ini adalah grafin, bahan hebat yang terkenal dengan keupayaannya dalam mengurangkan penggeseran yang tinggi, dan melindungi permukaan logam. GrafinTok™ memberi pengguna kebaikan dari segi penjimatan kos dan bahan api sebagai minyak pelincir aditif yang sesuai dengan semua jenis minyak enjin yang berada di pasaran.

Ketua pasukan penyelidikan, Prof. Dr. Janet Lim Hong Ngee dari Fakulti Sains UPM berkata, GrafinTok™ didapati terbukti meningkatkan kecekapan enjin dengan pengurangan pelepasan HC, CO & NO yang ketara sebanyak 50% dan menghidupkan semula enjin lembap dengan pengurangan bunyi dan getaran 10% untuk pemanduan yang lebih lancar dan senyap.

GrafinTok™ direka khusus untuk menangani isu penggeseran yang tinggi pada permukaan logam. Ia juga menghapuskan masalah logistik dan kos sekali gus menjadikannya sebagai pemilihan minyak enjin aditif yang berbaloi dan mesra pengguna.

“GrafinTok™ dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan pelanggan, menjadikannya mesra pengguna kerana ia boleh dikendalikan sebagai ‘Do-It-Yourself’. GrafinTok™ fokus untuk menjadi ciptaan hijau yang menjimatkan perbelanjaan pengguna dengan mengurangkan keperluan tukaran minyak yang kerap sekali gus secara langsung menurunkan sejumlah sisa minyak kotor,” katanya.

GrafinTok™ adalah aditif terbaik bagi setiap enjin untuk mengatasi isu biasa dalam kalangan pengguna dan industri automotif oleh kerana harga minyak enjin yang mahal. GrafinTok™ merupakan minyak enjin aditif yang dilengkapi dengan pelbagai faedah dan mesra pengguna.

Inovasi yang telah dipatenkan ini juga telah mendapat pengiktirafan pingat emas di International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) Malaysia 2021 baru-baru ini. Teknologi ini giat menjalankan aktiviti ke arah pengkomersilan teknologi melalui syarikat start-up GO Advanced Solutions Sdn. Bhd. di bawah Putra Science Park (PSP), UPM.

Menurut Prof. Madya Dr. Wan Nurhayati Wan Ab. Rahman, Timbalan Pengarah, Bahagian Promosi dan Pengkomersilan Inovasi, PSP, UPM amat mengalukan kolaborasi daripada rakan industri bagi membawa hasil penyelidikan ke pasaran supaya manfaatnya dapat dikongsi dengan semua pihak yang disasarkan.

UPM melalui inisiatif InnoHub amat komited bagi memastikan hasil penyelidikan UPM dapat dikomersialkan melalui program pembangunan syarikat start-up di bawah Putra Science Park, UPM. Sehingga kini UPM telah berjaya membangunkan 77 syarikat start-up yang berusaha membawa teknologi baharu ke pasaran di dalam pelbagai bidang.

read by
559
RANDOM IMAGE
LATEST ARTICLE
Inovasi Grafintok Tingkat Prestasi Enjin
UPM CEMERLANG RANGKUL 11 EMAS DAN 9 PERAK DI PECIPTA 2019
Inovasi Adaptive Wear rangkul ‘Outstanding Innovation Awards’, Anugerah Emas pada MTE 2021
LATEST BLOG