SELAMAT DATANG
SITI MASTURA MD ISHAK dilahirkan pada 30hb Jun 1977 di Batu Pahat, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Puleh, Parit Raja, Batu Pahat, Johor, dan Sekolah Menengah Perempuan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor. Di peringkat pengajian tinggi, beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk (Rekabentuk Perindustrian) pada tahun 2000 dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Sarjana Pengajian Melayu pada tahun 2013 dari Universiti Malaya, dan kemudiannya Ijazah Kedoktoran PhD dalam bidang Pengajian Sosiologi dan Budaya (Estetik) pada tahun 2017 dari Universiti Malaya, Malaysia. Pada 2013, beliau dilantik sebagai felo penyelidik di Johan Wolfgang Goethe-Universität Frankfurt am Main, Jerman.
Beliau adalah Pensyarah Kanan dalam bidang Strategi Reka Bentuk Perindustrian dan Estetika Budaya Tingkah Laku Pengguna di Jabatan Reka Bentuk Perindustrian dan juga Ketua Jawatankuasa Program Prasiswazah Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM. Beliau juga adalah ahli jawatankuasa Kurikulum Kecil Universiti, UPM dan menjadi ahli pasukan untuk penubuhan Pendidikan untuk Pembangunan Mampan universiti dibawah Cade-lead. Selain itu, beliau adalah Ketua kumpulan penyelidik Inovasi Bertanggungjawab untuk Alam Sekitar Mampan (RISE), ahli dalam Kumpulan Penyelidik Informatik Alam Bina (BEI), ahli badan profesional Malaysia Consumer and Family Economy Association (MACFEA) serta sebagai Jurulatih Bertauliah Sistem Navigasi E.A.G.L.E untuk Grounded Learning (M) Sdn Bhd yang telah melatih beratus pemegang taruh ilmuan pascasiswazah, akademia dan pihak Industri di Malaysia, Indonesia dan Jepun.
Beliau telah mempunyai lebih daripada 100 penerbitan yang terdiri dari jurnal, prosiding, buku, artifak reka bentuk, harta intelek, bab dalam buku, pameran antarabangsa dan bahan digital untuk pembelajaran fabrikasi produk. Beliau telah dan sedang menyelia seramai 11 orang pelajar master dan PhD selaku penyelia utama. Beliau juga adalah pengulas jurnal bagi Jurnal AlamCipta, UPM dan Journal of Malay Studies, Universiti Malaya.
Beliau aktif menjalankan penyelidikan dalam bidang reka bentuk pengguna, pembangunan reka bentuk kitar-tinggi untuk reka bentuk hijau, dan bahan mapan bagi pembuatan produk dan perabot. Beliau telah mengetuai penyelidikan yang memfokuskan bidang pembangunan kerangka reka bentuk guna-semula dari imejan estetik Orang Asli untuk reka bentuk mapan dibiayai oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia serta terlibat dalam geran Reka Bentuk Landskap Ekologi untuk Infrastruktur Hijau Bandar Karbon Rendah juga ditaja oleh KPT. Selain itu, beliau juga mengetuai geran projek pembangunan produk penguna Ailurofobia dari bahan buangan sawit dibawah biayaan Geran Putra UPM, serta projek asnaf PUTRA Frame, melalui dana khas Pejabat Bursar.
Keprihatinan beliau dalam memperkasakan komuniti tersasar dengan pendekatan seni dan kreativiti, mendapat perhatian pelbagai pihak sebagai pakar rujuk dalam projek-projek jaringan industri dan komuniti dengan kolaborasi bersama agensi kerajaan dan swasta seperti Projek Pembangunan Ekonomi B40 dan Miskin Tegar Kluster Kraftangan daripada Bahan Terbuang di Wilayah Persekutuan Labuan anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan dan agensi swasta sepanjang 2 tahun 2022 hingga 2023. Selain itu, beliau juga dilantik sebagai penasihat teknikal dalam projek Kolaborasi Komuniti Pembangunan Produk daripada Sisa Pepejal Tekstil Denim bagi Majlis Bandaraya Subang Jaya. Pada tahun yang sama, beliau juga menjadi ketua Projek Pembangunan Produk bagi Ekonomi Sirkular Wanita Rentan (kluster jahitan) di Jempol, Negeri Sembilan yang dibiayai oleh Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Bidang seni dan kreativiti yang diperjuangkan oleh beliau telah diiktiraf dengan pelbagai anugerah seperti Anugerah Kecemerlangan Akademik bagi ijazah sarjana oleh Universiti Malaya, Anugerah Kecemerlangan Pengajar Muda (2017 & 2018), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang APC UPM 2019, 2020, & 2022, Anugerah Pengajar Cemerlang 2022, Anugerah Penerbitan Terbaik 2022, Anugerah Jaringan Industri 2023 oleh Fakulti Rekabentuk & Senibina dan Anugerah Pembentang Terbaik dalam Konferensi Seni Melayu Islam oleh Universiti Teknologi Mara serta menjadi juri bagi pelbagai pertandingan inovasi reka bentuk dan teknologi di Malaysia. Beliau adalah pemenang pingat emas dalam pertandingan PicTL antarabangsa 2020 dan 2021 dengan pembangunan kaedah e-penilaian alternatif projek berterusan bersistematik berasaskan fabrikasi reka bentuk dan e-Portfolio profesional digital untuk reka bentuk perindustrian (InDe-PORT).
Hasil bakat seni dan kreativitinya telah menempatkan beliau memenangi Johan dan kedua dalam pertandingan inovasi reka bentuk bahan terbuang anjuran Majlis Perbandaran Sepang. Di samping itu, beliau juga mendapat pengiktirafan sebagai distinguished speaker di Konferensi Cumulus Antarabangsa Narratives of Arts, Wuhan, China dan Hubei Institute of Fine Art, Wuhan, bagi mengembangkan bidang reka bentuk dan estetika budaya tingkah laku dipersada akademia dan tokoh bidang seni dan reka bentuk. Dan, yang terbaru 28hb Mei 2024 beliau telah mendapat ANUGERAH FELLOWSHIP NAIB CANSELOR (KATEGORI PENYELIDIKAN DAN INOVASI) TAHUN 2023 dalam kategori ANUGERAH SENI DAN KREATIVITI oleh Universiti Putra Malaysia.