A
PROFILE
Laman Web Staf UPM
ENCIK ASRIZAM BIN ESAM
PEGAWAI PENYELIDIK
PEJABAT TIMBALAN NAIB CANSELOR ( PENYELIDIKAN & INOVASI )
asrizam
BM
EN

IdeaVault: Bersama mencipta solusi demi Malaysia

- 12 Jun 2025
Artikel di siarkan di Berita .RTM
Dicipta: 31 Mei 2025 12:01 PM
Sumber : https://berita.rtm.gov.my/laporan-khas/kolum/senarai-berita-kolumnis/senarai-artikel/ideavault-bersama-mencipta-solusi-demi-malaysia

SAUDARA PENGARANG

Rakyat Malaysia kini menghadapi pelbagai cabaran yang kompleks dan mendesak serta menuntut penyelesaian komprehensif secara berterusan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Cabaran ini merangkumi pelbagai spektrum, termasuk ketidaksamaan ekonomi yang menghalang pertumbuhan inklusif, pemupukan keharmonian sosial dalam kalangan populasi yang pelbagai, keperluan pemeliharaan alam sekitar untuk kelestarian jangka panjang serta pelaksanaan strategik kemajuan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pernah memetik kata-kata Buya Hamka dalam Magnum Opus, falsafah hidup, idea dan cita-cita itu sangat perlu bagi kehidupan. Kerana tanpa idea dan cita-cita, kita tidak punyai hakikatnya. Ini bermakna idea yang kita bicara ini mestilah idea yang merupakan kerangka besar yang mempertahankan nilai-nilai murni termasuk kemanusiaan dan kebaikan.

Malaysia, seperti negara membangun lain, menghadapi cabaran pembangunan ekonomi yang memerlukan kemajuan dalam pelbagai sektor. Dalam menangani cabaran ini dengan berkesan, adalah penting untuk mewujudkan ekosistem kolaboratif melibatkan individu, komuniti dan organisasi dalam membangunkan penyelesaian yang inovatif dan mampan.

Pelbagai cabaran seperti ketidaksepadanan pekerjaan dan pengangguran belia, kos sara hidup yang semakin tinggi, kemiskinan luar bandar, jurang pendapatan yang melebar, serta tekanan ekonomi akibat inflasi dan beban hutang negara, selain kesukaran menyeimbangkan kehidupan keluarga dan kerja, yang kesemuanya memerlukan solusi praktikal dan inovatif untuk meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan negara.

Impak negatifnya, kegagalan menjana idea-idea baharu bagi menangani isu-isu kritikal ini akan memburukkan lagi cabaran sedia ada, menjejaskan kemajuan negara secara keseluruhan. Pelaburan dalam pendidikan dan latihan, terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM), seharusnya menyediakan individu dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menyumbang kepada ekonomi berasaskan inovasi.

Justeru, satu wahana atau platform khas seharusnya diwujudkan bagi membudayakan perkongsian pengetahuan, menggalakkan kreativiti, dan memupuk rasa tanggungjawab kolektif untuk membentuk masa depan Malaysia. Idea baru dan inovasi merupakan pemacu utama kemajuan ekonomi, kesejahteraan sosial, dan kelestarian alam sekitar, memastikan warisan yang makmur dan berdaya tahan untuk generasi mendatang.

Inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun 2024 menunjukkan satu permulaan amat baik menerusi program Ideavault yang menjadi platform khusus bagi mengumpulkan semua idea dan solusi rakyat Malaysia secara berskala besar telah dihimpunkan, dinilai, dianalisis dan seterusnya diangkat daripada idea akar umbi yang benar-benar dapat memberi impak kepada kemajuan masyarakat dan negara.

Program ini juga merupakan salah satu program ikonik sempena Festival Idea Putrajaya yang menjadi acara tahunan negara. Dengan kerjasama Putra Science Park, Universiti Putra Malaysia dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, pertandingan IdeaVault ini menggalakkan rakyat untuk berkongsi idea kreatif dan solusi praktikal bagi menangani cabaran secara inovatif.

Melalui platform ini, pelbagai lapisan masyarakat termasuk profesional, pelajar dan orang awam dapat mengemukakan idea yang berpotensi untuk direalisasikan, sekali gus memperkukuh budaya inovasi berteraskan pengetahuan dan teknologi di Malaysia.

IdeaVault dan Festival Idea Putrajaya Mencetus Pembudayaan Idea

Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) digagaskan semula oleh YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pada tahun 2024 bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pemikiran strategik dan inovasi global melalui penganjuran platform intelektual yang berimpak tinggi.

Festival ini menghimpunkan pemikir terkemuka, pembuat dasar, penggiat industri dan masyarakat umum untuk merangka penyelesaian transformatif terhadap cabaran masa depan negara dan dunia.

Penganjuran Putrajaya FOI telah dijayakan melalui penglibatan pelbagai kementerian, agensi dan industri bekerjasama, bergerak secara “whole of government” dalam menghasilkan wacana intelektual dan inovasi untuk dikongsikan bersama rakyat.

Festival ini juga dilihat dapat mengembalikan kegemilangan budaya ilmu dan seterusnya melahirkan masyarakat yang menghargai ilmu. Dalam masa yang sama, idea dan penyelidikan di bawa serta di kumpulkan agar dapat dikongsi kisah kejayaannya kepada masyarakat dan seterusnya merangka masa depan negara melalui “The Malaysian Success Story” dan mengangkat Putrajaya sebagai "City of Ideas".

Menurut Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, Ketua Penyelaras Jawatankuasa Kerja Konsep dan Pengisian Putrajaya FOI 2024, karnival ini telah berjaya menghimpunkan penglibatan pemimpin tertinggi negara, 91 orang ahli akademik, pakar, pembuat dasar, industri dan anak muda dari seluruh negara di dalam 18 sesi wacana ilmu untuk berkongsi dan mempromosikan idea bernas dalam pelbagai bidang.

Kekuatan hasil penyelidikan dan inovasi institut pendidikan tinggi tempatan turut diketengahkan disulami dengan pelbagai aktiviti sastera dan kebudayaan. Selain menyemarakkan lagi budaya mencipta idea, festival ini juga memberi impak segera dengan menawarkan 1,500 pekerjaan kepada 5,000 pengunjung yang menghadiri kerjaya Karnival Kerjaya MADANI di festival ini.

Program ini telah berjaya mendekati 1.068 juta pengunjung dan penyertaan dari pelbagai golongan dan ianya menjadi platform penting dalam memupuk budaya cipta idea dan inovasi yang dilaksanakan di Putrajaya dan semua universiti awam serta swasta di Malaysia.

Menurut Pengarah Putra Science Park UPM, Prof. Dr. Samsilah Roslan selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja IdeaVault 2025, penyertaan rakyat dalam pertandingan ini bukan sahaja dapat melahirkan idea-idea baharu yang praktikal, malah mampu memberi impak besar terhadap kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.

Melalui pertandingan ini, peserta dari pelbagai latar belakang berpeluang mencurahkan idea bernas yang berpotensi menjadi solusi inovatif terhadap isu-isu yang dihadapi rakyat, termasuk dalam bidang kesihatan, ekonomi, pendidikan dan gaya hidup.

Idea yang terbaik bukan sahaja dipilih berdasarkan keunikan dan keberkesanan, malah berpotensi dibangunkan dan direalisasikan untuk memberi impak langsung kepada komuniti dan negara.

Selain itu, pertandingan ini juga menggalakkan penglibatan rakyat secara meluas, bermula dari pelajar sekolah rendah sehingga profesional dan orang awam, menjadikan penyelesaian masalah lebih inklusif dan relevan dengan keperluan sebenar masyarakat.

Peranan Rakyat Membudayakan Idea

Dalam konteks Malaysia, penekanan terhadap ekonomi pengetahuan telah menjadi agenda utama negara dalam memartabatkan penghasilan idea baru ke satu tahap yang berbeza, dan memerlukan penentuan khusus untuk membentuk paradigma daya saing yang baharu.

Perkembangan pesat dalam teknologi maklumat, komunikasi dan juga kecerdasan buatan di seluruh dunia pasti membawa perubahan yang ketara dan keperluan mendesak dalam setiap aspek kehidupan manusia.

Pemegang taruh seharusnya memberi penekanan kepada pembudayaan idea dan inovasi dalam semua sektor sebagai agen yang berpengaruh, terutamanya dalam menghasilkan pekerja mahir dan profesional yang akan menggalakkan pembangunan pelbagai sektor.

Idea tanpa tindakan ibarat pohon yang tidak berbuah. Dengan kemunculan kecerdasan buatan yang memberi impak besar dalam kehidupan seharian, gerak kerja dalam merealisasikan idea yang baik dan bermutu akan menjadi lebih mudah namun masih perlu iltizam dan komitmen yang berterusan.

Malaysia wajar menggerakkan pembudayaan idea dan kreativiti, melabur dalam modal insan yang berpengetahuan dan inovatif untuk memacu ekonomi bagi mengendalikan pelbagai ketidaktentuan dan cabaran mendatang.

IdeaVault dilihat dapat berperanan sebagai wadah bagi rakyat Malaysia untuk sama-sama mengerah idea dan mencipta solusi yang bukan sahaja menyelesaikan masalah harian, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih mampan dan sejahtera.

Melalui kerjasama dan perkongsian sumber berasaskan pendekatan quintuple helix, IdeaVault dilihat dapat menjadi pemangkin untuk perubahan positif, memperkasakan rakyat Malaysia untuk menangani cabaran yang paling mendesak dan membina masa depan yang lebih cerah dari rakyat untuk rakyat.

Seruan penganjur agar seluruh rakyat tanpa mengira batasan agama, bangsa dan faktor umur untuk bergandingan bahu dan mencurah idea dalam menjadi sebahagian daripada agen perubahan menerusi platform ini. Setiap idea yang dikongsi mampu membawa manfaat besar, bukan sahaja kepada komuniti setempat malah kepada negara secara keseluruhan.

Namun, kita masih perlu berwaspada di dalam menggerakan inisiatif ini. Akan muncul gagasan idea yang dilihat menarik, tetapi idea yang dihasilkan daripada ketandusan ilmu, kelecehan dan kedangkalan terkadang menyajikan idea yang lemah kebolehlaksanaannya apatah lagi jika melibatkan pemahaman perkauman dan keagamaan yang sempit.

Rakyat Malaysia disaran agar dapat untuk meningkatkan kewaspadaan dan mengambil peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada gelombang inovasi nasional, seterusnya menyumbang ke arah Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera. Jangan lepaskan peluang untuk menyumbang idea anda – bersama kita cipta solusi, bangunkan negara!.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

INV ASRIZAM ESAM
Inv. Asrizam Esam
Pegawai Penyelidik Kanan
Ketua Seksyen Korporat dan Hubungan Strategik
Putra Science Park, Universiti Putra Malaysia
Pengerusi Jawatankuasa Penyertaan IdeaVault IPT 2025
Emel: asrizam@upm.edu.my

Berita RTM Ideavault
dibaca
29
IMEJ RAWAK
Asrizam Esam Skytider Utusan Malaysia 2
Rekor MURI
Closing ceremony
ARTIKEL
IdeaVault: Bersama mencipta solusi demi Malaysia
Puisi Cermin Rahsia Majalah Komposisi
STAF PSP JUARA SAYEMBARA MENULIS PUISI SEMPENA HARI PUISI MALAYSIA KPT 2024
STAF UPM KENDALI PROGRAM RESENSI BUKU DATUK DR LIM SWEE TIN
PSP Research Officer Among Certified UPM Data Steward
MRANTI -UPM wins top award for tool to hang posters
The History of Malaysia Technology Expo MTE and UPM
Usahawan wanita perlu rebut peluang perniagaan IP - Berita Harian
Kesedaran mendaftar harta intelek semakin meningkat - BHarian
Kesukaran membuang dawai lama dan serpihan bunting pada tiang lampu - APIC MPC
One Research & Innovation Activity for University Module -Productivity Champion MPC
Skytider- Mounting and Hanging Display Product Device - Productivity Champion MPC
Skyridder Anugerah Inovasi Negeri Selangor 2022
Skyridder at Quality Circle Forum of India Hyderabad
Buku Laporan Tahunan UPM 2020 - Inovasi UPM Rangkul Emas APIC
China IP Management and Commercialisation Achievement
Open Source and Development
Inovasi UPM raih 2 emas di Hyderabad, India
INOVASI BENDUNG COVID19
Skyridder Inovasi Bantu Kebersihan Komuniti
MOVEMENT CONTROL ORDER (MCO): AN SYAR'IYYAH POLITICAL APPROACH
Inovasi Perkhidmatan Mampu Lonjak Prestasi Pentadbiran
Determinants of organizational practices & research culture for the enhancement research performance
Skytider Pengikat Langit-Skyridder Pembuang Langit
Strategy for IPM
IP Commercialisation
IP-Value and Finance
Innovation and IP Protection
IP Management - Economic Perspectives
Intellectual Property Management
Anak Merdeka Dunia Global
APIC 2020 : UPM Rangkul 4 Emas
Pameran Maya Nafas Baharu Perdagangan Ketika Pandemik
Ulasan Buku : Kenangan Ayah
Licensing practices of UPM patented inventions
Inovasi Skytider, jamin keselamatan pengguna
Inovasi Skyridder Bantu Komuniti Buang Iklan Haram
BLOG