Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyelidik kemuka rekabentuk rumah mesra remaja
Diterbitkan:  Apr 13, 2016 5:51 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Dalam usaha memahami kehendak dan citarasa remaja dalam arus pembangunan dan meniti kehidupan selesa, sekumpulan penyelidik universiti tempatan menjalankan kajian reka bentuk perumahan awam yang lebih mesra remaja.

Penyelidikan yang diketuai Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu turut disertai empat lagi penyelidik daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pensyarah Pengurusan dan Keusahawanan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan UMK Prof Dr Raja Suzana Raja Kasim berkata penyelidikan yang mengambil masa lebih dua tahun itu memfokuskan pembangunan model reka bentuk ruang dan perumahan kos rendah yang lestari serta mesra remaja.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di George Town hari ini, beliau berkata reka bentuk itu turut memberi tumpuan terhadap pengaruh persekitaran rumah dan ruang yang mempengaruhi corak pembesaran remaja dan aspek sosialisasi.

"Dasar keseluruhan penyelidikan ini adalah berpaksikan pembangunan belia yang positif. Dalam kajian untuk perumahan awam kos rendah ini kami melihat beberapa faktor yang akan memberikan kesan jangka panjang kepada arus perubahan sosial.

"Dalam penyelidikan ini juga, kami berkongsi hasil dapatan berkenaan corak perubahan baharu yang perlu dipertimbangkan untuk memberi ruang yang lebih selesa ke arah pembangunan dan pembentukan belia," katanya.

Dr Suzana berkata hasil penyelidikan itu juga mendapati golongan belia akan berisiko untuk terlibat dalam gejala tidak bermanfaat sekiranya tiada inovasi ruang perumahan yang lebih mesra kepada golongan itu.

Beliau berkata idea reka bentuk itu dibuat menerusi kajian terhadap 6,000 belia berumur antara 15 dan 25 tahun di seluruh negara.

Mengenai corak reka bentuk yang sesuai untuk remaja, Pensyarah Kanan Jabatan Senibina, Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM Dr Mohamed Fakri Zaky Jaafar berkata reka bentuk tersebut adalah daripada perumahan awam sedia ada dengan beberapa penambahbaikan.

"Cabaran yang kami hadapi ialah apabila rumah yang bersaiz kecil dan kita perlu menjimatkan ruang. Kami cuba dari segi reka bentuk dalaman, reka bentuk perabot supaya ada ruang untuk belia berinteraksi dalam rumah.

"Dari segi rekaan hiasan dalaman, kami menerapkan konsep "triaxes" atau tri paksi dalam memaksimakan potensi ruang dalaman yang terhad," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS