Mei : Berita Harian UPM lancar PUTRA bantu kembangkan pertanian, keterjaminan makanan negara
Sumber: Berita Harian, Mei 16 2024
bhnews@bh.com.my
KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan penjenamaan semua aktiviti pengembangan pertanian dan keterjaminan makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah jenama Pertanian Untuk Rakyat (PUTRA).
Pelancaran PUTRA oleh baginda yang juga Canselor UPM dilaksanakan dengan menandatangani plak perasmian yang dibawa masuk oleh sebuah robot di Istana Alam Shah dekat sini, hari ini.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata pelancaran PUTRA melambangkan sumbangan penting UPM dalam memperkasa bidang pertanian serta komitmen universiti berkenaan dalam memajukan pertanian untuk kepentingan masyarakat.
"Penjenamaan ini memberikan pendedahan kepada masyarakat bahawa UPM bersama agensi terbabit menyediakan pelbagai program latihan, pendidikan, dan penyelidikan kepada petani tempatan yang boleh menyumbang kepada peningkatan sara hidup dan pembangunan ekonomi masyarakat.
Sultan Selangor yang juga Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menandatangani plak perasmian pada Majlis Pelancaran Pertanian Untuk Rakyat (PUTRA) di Istana Alam Shah, hari ini.
"Dalam usaha ini, UPM giat bekerjasama dengan agensi luar seperti projek Inisiatif Pendapatan Rakyat Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN @ UPM), program pengembangan PUTRA oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan persidangan ilmu membincangkan agenda keterjaminan makanan," katanya.
Beliau berkata, pertanian bandar adalah antara kerjasama dengan komuniti bandar yang sering dijalankan bagi menyebar luas ilmu pertanian dalam kalangan masyarakat setempat.
Katanya, terbaharu sekumpulan penyelidik Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) dan Fakulti Pertanian (FP) sudah menuai rintis padi varieti baharu rintang kemarau dan berkualiti tinggi yang dinamakan benih Climate Ready (CR) berskala besar di bendang Kampung Muring, Kota Bharu, Kelantan.
"Usaha ini disokong dengan perkembangan teknologi digital mudah dan terbaru melalui teknologi kecerdasan buatan (AI). Antara kajian yang telah dipelopori seperti pengesan tekanan tumbuhan menggunakan aplikasi DEEP-NDVI Model.
"Ini termasuk juga pertanian pintar menggunakan data tepat AI, pertanian digital berkembar oleh Putra Science Park (PSP) serta sistem sensor pemantauan kualiti air bagi penternakan ikan siakap oleh Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik UPM," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata inisiatif-inisiatif berkenaan adalah selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2012-2030 (DAN 2.0) untuk meningkatkan kesedaran masyarakat akan pentingnya keterjaminan makanan serta menegaskan peranan penting UPM sebagai institusi pendidikan yang berkait rapat dengan pertanian.
Jelasnya, turut dilaksanakan Kolabrasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) menerusi program Usahawantani Putra-Perhebat dalam memartabatkan sosioekonomi bakal pesara serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/05/1247816/upm-lancar-putra-bantu-kembangkan-pertanian-keterjaminan-makanan