Klinik Haiwan Bergerak
BEBERAPA pelajar dan
pensyarah yang berada di
dalam van berwarna putih itu
dilihat sibuk mengendalikan
beberapa ekor kucing yang
memerlukan rawatan.
Dikenali sebagai klinik bergerak
dalam kalangan masyarakat, van atau
kenderaan pelbagai guna (MPV) yang
diubah suai menjadi sebuah klinik itu
merupakan inisiatif tenaga pengajar
daripada Fakulti Perubatan Veterinar
Universiti Putra Malaysia (UPM).
Siapa sangka, klinik yang pernah
digerakkan untuk misi menyelamat
haiwan yang terkesan dengan banjir
sekitar Lembah Klang penghujung tahun
lalu kemudian dijadikan platform untuk
terus membantu mendidik masyarakat
dan merawat haiwan yang memerlukan.
Bukan sahaja menyediakan
pemeriksaan kesihatan dan rawatan
asas secara percuma, pasukan klinik
bergerak itu turut mengadakan pelbagai
program kesedaran kepada masyarakat,
terutamanya mengenai kaedah
penjagaan haiwan yang betul.
Semua ini dilakukan oleh pasukan
pensyarah dan pelajar daripada
Fakulti Perubatan Veterinar dalam
memastikan kebajikan haiwan belaan
mahupun terbiar mendapat penjagaan
sewajarnya.
Timbalan Dekannya, Prof. Dr. Jalila
Abu berkata, cetusan idea klinik
veterinar bergerak itu sebenarnya
diketuai Pensyarah Kanannya, Dr. Farina
Musta a Kamal dan Ketua Jabatan, Prof.
Madya Dr. Nurul Hayah Khairuddin.
Ia bagaimanapun turut digerakkan
dengan beberapa tonggak penting lain
termasuk Pegawai Perunding Hospital
Veterinar Universiti (UVH), Prof. Madya
Dr. Chen Hui Cheng.
“Van ini pada awalnya digunakan
untuk tujuan pengajaran
memandangkan kami di sini sebagai
perunding UVH dan memahami
keperluan akses ke lokasi atau
memudahkan ke kawasan
perkampungan dan pedalaman untuk
pengajaran serta rawatan.
“Bagaimanapun, sekitar awal tahun
lalu, van ini digunakan oleh Dr. Farina
untuk tujuan penyelidikan. Pada waktu
itu, beliau mengkaji jangkitan Covid-19
dalam kalangan kucing.
“Kemudian, van ini digerakkan untuk
tujuan pameran dan pengajaran dan
ia berdasarkan jemputan sehingga
kini. Jika pihak universiti menjalankan
program pengembangan veterinar, kami
akan turut serta dengan sasaran utama
mahu mendidik kaedah penjagaan
haiwan yang betul,†katanya kepada K2.
Pada penghujung tahun lalu, apabila
beberapa kawasan di sekitar Lembah
Klang dilanda bah, van tersebut
digerakkan ke kawasan terlibat bagi
membantu haiwan-haiwan yang turut
menjadi mangsa banjir.